PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad mencatatkan keuntungan kasar yang lebih tinggi sebanyak RM1.02 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, peningkatan 17 peratus berbanding suku sama tahun lalu didorong kestabilan dalam aliran harga Jet A1 dan Diesel.
Syarikat juga merekodkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 19 peratus kepada RM375.2 juta pada suku dalam tinjauan berbanding suku sama tahun lalu.
Walaupun keuntungan sebelum cukai merosot sebanyak lapan peratus berbanding suku sebelumnya, prestasi kumulatif tahun ke tahun menunjukkan peningkatan sebanyak 59 peratus, sekali gus mempamerkan keupayaan Petronas Dagangan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik pasaran dan mengoptimumkan operasinya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, tumpuan pihaknya akan kekal pada mengoptimumkan dinamik bekalan dan permintaan, di samping memastikan pengurusan kos yang cekap.
“Syarikat secara aktif sedang memacu penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) sebagai opsyen komersial berdaya maju kepada industri penerbangan, seterusnya menunjukkan komitmennya untuk menyokong usaha penyahkarbonan industri,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku dikaji, Petronas Dagangan telah meraih pencapaian ketara termasuk pemasangan 48 stesen tambahan Petronas dengan panel solar, menjadikan jumlah keseluruhan 62 stesen dilengkapi kemudahan itu.
Sementara itu, rangkaian perniagaan makanan dan minumannya, Café Mesra baru-baru ini meraikan ulang tahun pertama dan kini telah membuka 55 cawangan sejak penubuhannya pada Julai 2022.
Petronas Dagangan juga menandatangani perjanjian ambil alih pertamanya dengan Malaysia Aviation Group (MAG), mewakili satu langkah ke hadapan yang penting dalam menjadikan pengeluaran SAF tersedia di Malaysia pada skala komersial.
Perjanjian itu akan menyaksikan syarikat membekalkan lebih 230,000 tan SAF kepada syarikat penerbangan MAG dengan penghantaran pertama dijangka mulai 2027 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
SAF akan dikeluarkan di kilang pemprosesan bersama Petronas di Melaka dan dibekalkan terus ke KLIA untuk penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines dan seterusnya, kepada syarikat penerbangan saudaranya Firefly dan MASwings.
Petronas telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham biasa bagi suku berakhir 30 Jun 2023. – UTUSAN










