PETALING JAYA: Permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah merosot sebanyak 11 peratus pada Jun 2023 selepas pertumbuhan kukuh sebanyak 23 peratus bulan ke bulan pada Mei lalu.
Kemerosotan dalam permohonan pinjaman pada Jun 2023 mungkin disebabkan oleh penormalan permohonan pinjaman kerana data pada Mei 2023 berkemungkinan dirangsang oleh permintaan terpendam selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, menurut MIDF Research, angka yang lebih lemah itu juga mungkin disebabkan oleh kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Mei 2023.
“Setiap tahun, permohonan pinjaman merosot sebanyak 13.4 peratus, membawa kumulatif permohonan pinjaman kepada RM297 bilion dalam separuh pertama 2023.
“Permohonan pinjaman pada enam bulan pertama ini adalah mendatar pada 0.8 peratus, menunjukkan permintaan yang lebih baik sedikit untuk hartanah.
“Melangkah ke hadapan, permohonan pinjaman dijangka berkembang lebih kukuh sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan kenaikan kadar pada Julai 2023,” katanya dalam nota kajian.
Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah berkurangan sebanyak 5.8 peratus bulan ke bulan pada Jun 2023 terutamanya disebabkan oleh permohonan pinjaman yang lebih rendah.
Jelasnya, pada asas tahunan, jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat sebanyak 5.4 peratus walaupun permohonan pinjaman lebih rendah terutamanya disebabkan oleh peratusan jumlah pinjaman diluluskan yang lebih tinggi berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 47.7 peratus pada Jun 2023 (Mei 2023: 45 peratus).
“Secara kumulatif, jumlah pinjaman yang diluluskan dalam separuh pertama 2023 adalah sihat pada RM131 bilion yang mewakili kadar pertumbuhan 9.2 peratus tahun ke tahun.
“Secara ringkas, kita dapat lihat jumlah pinjaman diluluskan yang sihat sepatutnya diterjemahkan menjadi lebih baik sedikit dalam prospek jualan baharu bagi pemaju hartanah,” ujarnya.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan penarafan ‘neutral’ pada sektor hartanah walaupun permohonan pinjaman yang lebih lemah pada bulan dikaji memberikan gambaran negatif.
“Kami melihat bahawa permintaan akan pulih secara beransur-ansur pada bulan-bulan akan datang.
“Sementara itu, tinjauan keseluruhan untuk sektor hartanah bertambah baik secara beransur-ansur dengan prospek hartanah yang lebih baik untuk Johor. Namun, penilaian syarikat hartanah yang menurun bermakna mungkin mengehadkan kenaikan dalam jangka masa terdekat.
“Secara keseluruhan, kami mengekalkan ‘neutral’ dengan berat sebelah positif pada sektor hartanah. Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Kumpulan Mah Sing (BELI, TP: RM0.83) dan Glomac Berhad (BELI, TP: RM0.47).
“Ini kerana kami melihat pemaju yang menumpukan pada segmen pasaran pertengahan dan mampu milik sepatutnya terus menunjukkan prestasi yang baik dalam jangka panjang kerana permintaan untuk rumah mampu milik kekal berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN










