Permintaan buruh positif, rekod 8.83 juta jawatan - Utusan Malaysia

Permintaan buruh positif, rekod 8.83 juta jawatan

KADAR pengangguran di Malaysia kini turun kepada 3.4 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah jawatan pada suku kedua 2023 meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 8.83 juta jawatan, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, trajektori positif pasaran buruh di Malaysia berterusan sehingga suku tahun kedua 2023, menunjukkan permintaan buruh yang lebih baik.

Ujarnya, dengan peningkatan sebanyak 208,100 jawatan dalam sektor ekonomi, bilangan jawatan telah mencapai 8.83 juta, melebihi bilangan pada tahun sebelumnya iaitu 8.62 juta dalam tempoh yang sama.

“Berikutan itu, trend peningkatan dalam bilangan jawatan diisi dapat dilihat meningkat sebanyak 2.5 peratus merekodkan 8.64 juta jawatan dalam suku kedua 2023.

“Namun, bilangan kekosongan jawatan mengalami pertumbuhan negatif, menurun sebanyak 0.9 peratus merekodkan 189,600 kekosongan berbanding 191,300 pada tempoh sama tahun lalu.

“Dalam tempoh ini, kadar jawatan diisi dan kekosongan jawatan masing-masing merekodkan 97.9 peratus dan 2.1 peratus, mencerminkan pasaran buruh yang seimbang dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Melihat kepada senario jawatan diisi pada suku kedua 2023, Mohd. Uzir berkata, semua sektor ekonomi menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun.

Katanya, sektor perlombongan dan pengkuarian menjadi penyumbang utama dengan kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 3.6 peratus, diikuti pembuatan (3.1 peratus) dan pertanian (3.0 peratus).

“Melihat kepada pecahan jawatan mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar bagi jawatan diisi dengan merekodkan 4.55 juta jawatan, merangkumi 52.7 peratus daripada jumlah jawatan diisi.

“Sektor pembuatan menyusul dengan 2.32 juta jawatan diisi, merekodkan 26.9 peratus dan pembinaan menduduki tempat ketiga (14.3 peratus; 1.24 juta).

“Mengikut kategori kemahiran, kebanyakan jawatan diisi adalah dalam kategori separuh mahir, mencatatkan 5.40 juta jawatan, bersamaan dengan 62.5 peratus diikuti oleh mahir (25.0 peratus; 2.16 juta) dan berkemahiran rendah (12.5 peratus; 1.08 juta),” ujarnya.

Jelas beliau, bilangan kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi pada suku tahun ini adalah sebanyak 189,600, menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan sebanyak 1,700 berbanding 191,300 pada tempoh sama 2022.

Tambahnya, keseluruhan permintaan buruh dalam sektor ekonomi pada suku tahun ini terus menunjukkan trend positif walaupun menghadapi risiko kemelesetan global, yang menjurus kepada pertambahan peluang pekerjaan dan mengukuhkan pasaran buruh di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN