PETALING JAYA: Kerajaan akan meneruskan penubuhan Majlis Tenaga Negara dan bercadang untuk mengadakan mesyuarat pertama seawal Oktober ini, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, majlis itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Kementerian Ekonomi sebagai sekretariat.
“Peralihan tenaga muncul sebagai tonggak ekonomi utama bagi Malaysia, jadi majlis itu akan menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi,” katanya dalam ucap tama hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga anjuran Tenaga Nasional Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurut Rafizi, untuk merealisasikan manfaat ekonomi kepada negara ini, terdapat tiga struktur kritikal yang akan menjadi asas kepada matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Kita memerlukan tadbir urus yang kukuh, pembiayaan yang besar dan boleh dipercayai serta sistem pertukaran yang telus.
“Kemudahan Peralihan Tenaga Nasional bukan sekadar satu lagi kemudahan yang menempatkan pelaburan kerajaan. Sebaliknya, kemudahan itu akan mengguna pakai instrumen kewangan gabungan inovatif yang menggabungkan pembiayaan daripada saluran awam, swasta dan dermawan.
“Kerajaan melaksanakannya dengan melabur bersama dalam projek-projek utama sebagai modal konsesi atau melalui institusi kewangan pembangunan, atau secara aktif membangunkan projek boleh dibankkan yang sedang dilaksanakan melalui bantuan teknikal,” katanya.
Rafizi berkata, matlamatnya adalah untuk memanfaatkan dana hijau tempatan dan antarabangsa yang telah mencapai rekod tertinggi pada tahun lalu, dan dijangka menerima keyakinan pelabur sekiranya kita melaksanakannya dengan berkesan.
“Malaysia tidak akan berupaya memafaatkan sepenuhnya potensi sebenar tenaga boleh baharu (TBB) tanpa mewujudkan pertukaran tenaga fizikal di negara ini.
“Pada peringkat asas, pertukaran adalah perlu bagi negara untuk menentukan harga premium RE yang datang daripada perdagangan rentas sempadan.
“Apabila pertukaran matang, penciptaan pasaran produk boleh dicipta untuk membuka lagi kunci nilai pasaran berbeza yang menghasilkan pulangan yang sihat kepada pesertanya.
“Pertukaran itu juga boleh memudahkan kesalinghubungan yang lebih erat di Asia Tenggara, yang saling menguntungkan rantau ini sebagai satu blok ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN










