Pecca Group catat rekod keuntungan, pendapatan bersih tertinggi

Pecca Group catat rekod keuntungan, pendapatan bersih tertinggi pada S4 TK2023

FOO KEN NEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar upholsteri automotif Pecca Group Berhad (Pecca) meraih satu lagi keputusan sukuan pemecah rekod dalam tempoh kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2023 (S4 TK2023), dengan jualan sarung kerusi kereta upholsteri yang lebih tinggi dan kecekapan operasi yang lebih baik, memacu peningkatan 23 PERATUS dalam keuntungan bersih.

Kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM10.10 juta pada S4 TK2023, berbanding RM8.25 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan Kumpulan meningkat 7 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada RM54.33 juta, daripada RM50.75 juta setahun lalu. Ia adalah keuntungan bersih dan hasil suku tahunan tertinggi dicapai Pecca dalam rekod kewangannya.

“Margin keuntungan bersih Pecca bagi suku yang dikaji ialah 18.6 peratus, peningkatan 23 peratus daripada tempoh yang sama setahun lalu.

“Peningkatan dalam keuntungan adalah hasil daripada pengurangan kos operasi dan peningkatan kecekapan di fasiliti pengeluaran Kumpulan, sejajar dengan tumpuan strategik Pecca untuk mengoptimumkan produktiviti proses pembuatannya,” katanya dalam kenyataan.

Untuk tahun fiskal penuh 2023 (TK2023), Pecca mencatatkan rekod keuntungan bersih bersejarah sebanyak RM35.43 juta, meningkat 55 peratus daripada RM22.84 juta pada fiskal 2022. Lonjakan keuntungan terutamanya didorong oleh kenaikan 35 peratus tahun ke tahun dalam pendapatan setahun penuh, kepada RM221.26 juta.

Pada suku keempat TK2023, pendapatan Kumpulan dipacu oleh permintaan untuk sarung kerusi kereta upholsteri, jahitan dan pembekalan sarung aksesori kereta bersama-sama dengan penyediaan perkhidmatan pembalut dan jahitan.

Setiap subsegmen masing-masing menyumbang kira-kira 89 peratus, 4 peratus dan 5 peratus daripada jumlah hasil. Segmen sarung kulit tempat duduk kereta Pengilang Peralatan Asal (OEM) pula menyumbang kira-kira 86 peratus daripada jumlah pendapatan untuk penutup kusyen kereta manakala segmen Pengilang Peralatan Gantian (REM) dan Pemeriksaan Pra-penghantaran (PDI) menyumbang masing-masing kira-kira 3 peratus dan 11 peratus.

Mengulas prestasi kewangan itu, Ketua Pegwai Eksekutif Pecca Group, Foo Ken Nee berkata, Kumpulan berbesar hati untuk melaporkan satu suku lagi rekod tinggi keputusan kewangan yang kukuh, menunjukkan komitmen Kumpulan untuk menyampaikan pertumbuhan perniagaan yang mapan.

“Terutama, ini adalah suku keempat berturut-turut dalam fiskal 2023 di mana Pecca telah mencatatkan rekod keuntungan bersih baharu,” katanya.

Kata beliau, permintaan untuk upholsteri kulit automotif berkualiti tinggi terus kukuh, dengan pelanggan utama Kumpulan iaitu Perodua, mengunjurkan jualan dan pengeluaran mencecah tahap rekod yang tinggi pada 2023.

Jelasnya, momentum itu pasti akan memberi manfaat kepada prestasi kewangan Kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2024 (S1 TK2024).

“Pecca akan terus meletakkan diri sebagai pembekal pilihan peserta automotif peringkat global dan tempatan, justeru membolehkan kami mengharungi gelombang permintaan yang semakin meningkat.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memanfaatkan kekuatan utama kami untuk berkembang dalam pasaran sedia ada dan baharu, dengan tumpuan pada peluang margin yang lebih tinggi.

“Kedudukan mudah tunai kami yang teguh, yang berjumlah RM111 juta pada S4 TK2023, akan memberikan kami kuasa kewangan untuk mempercepatkan pertumbuhan di seluruh Kumpulan,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN