Modenas Dominar 250: Jentera tahan lasak kini untuk semua

Modenas Dominar 250: Jentera tahan lasak kini untuk semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usahasama MODENAS dengan BAJAJ dari India telah pun melebihi setengah dekad. Satu model BAJAJ tampak lebih prominen daripada model-model yang telah pun dipasarkan oleh MODENAS pada masa-masa lalu, iaitu model DOMINAR. Walau bagaimanapun, kelasakan dan keunikan model DOMINAR tidak dapat diketengahkan sepenuhnya kerana dihasilkan dalam kapasiti enjin 400cc. Umum mengetahui, lebih daripada 70 peratus pemilik motosikal tempatan walau bagaimanapun, hanya mempunyai had sehingga 250cc. Oleh itu, DOMINAR 400 tidak berjaya menembusi pasaran tempatan dengan lebih baik sejak diperkenalkan pada 2018.

Setelah melalui pelbagai pengolahan dan pengubahsuaian produksi, akhirnya BAJAJ DOMINAR menghasilkan DOMINAR 250 untuk dipasarkan di Malaysia di bawah penjenamaan MODENAS DOMINAR 250 untuk membolehkan lebih ramai para pencinta dua roda turut merasai kebolehan dan kelasakan jentera ini, walau ia mungkin tidak sekuat 400cc.

Adakah DOMINAR 250 mempunyai tarikan yang serupa dengan jentera asal yang diperkenalkan lima tahun yang lalu? Ayuh kita kupas dengan lebih teliti.

REKA BENTUK FIZIKAL
Secara mata kasar, ia memang saling tidak tumpah fizikalnya dengan DOMINAR 400. Si ‘adik’ ini, tetap didatangkan dengan penyerap hentakan hadapan jenis terbalik, meter LCD sepenuhnya lengkap dengan ‘meter kedua’ yang memberi lebih informasi kepada penunggangnya.

Tangki bahan apinya tampak tegap dan besar kerana menggunakan kapasiti tangki yang sama dengan D400 iaitu 13 liter. Lampu hadapan D250 ini juga menggunakan semula lampu hadapan D400 dan pelananya juga serupa di antara kedua-dua model ini.

Corong ekzos berkembar yang diperkenalkan pada model D400 versi kedua tidak berapa lama dahulu turut digunakan oleh D25. Namun, kita akan lebih mengulas tentang penggunaan corong penyerap bunyi jenis berkembar ini dalam segmen kesimpulan sebentar lagi.

Penggunaan saiz tayar walau bagaimanapun, menggunakan saiz yang sedikit kecil (difikirkan ini lebih wajar terutama mengambil faktor kapasiti enjin telah dikurangkan), iaitu 100/89-17 untuk hadapan (berbanding D400 bersaiz 110/70-17) dan 130/70-17 (berbanding D400 bersaiz 150/60-17).

PENUNGGANGAN
Selepas menghayunkan kaki anda merentasi pelananya, perasaan yang sama dapat dirasakan pada D250, dan dirasakan dimensi dan ketinggian pelananya juga hampir-hampir serupa dengan D400. Apabila masuk gear pertama, pulasan pendikit menghasilkan tujahan kuasa yang agak baik dan membolehkannya bergerak luncur melusuri gear-gear seterusnya.

Namun, apabila D250 ini mula bergerak, bar handel dirasakan agak sedikit berat untuk mengendalikannya. Walau faktor ini membantu daripada segi pengendalian di dalam selekoh yang membuatnya lebih stabil, tetapi ketika penunggangan dalam bandar raya, faktor ini akan sedikit memenatkan penunggang selepas beberapa tempoh waktu menunggang.

Meluncur kelajuan daripada gear rendah ke gear tertinggi, saya dapati D250 mempunyai lampu amaran tukar gear pada tahap RPM 7,000. Ini agak mengecewakan bagi saya kerana kita tidak dapat ‘menarik’ pacuan enjin untuk lebih ekstrim akibat lampu amaran yang naik setiap kali sampai ke tahap tersebut. Sepatutnya, untuk jentera 250cc (lebih tepat kapasiti sebenarnya adalah: 248.77cc), lampu amaran tersebut boleh dilaras sehingga ke RPM10,500 memandangkan tolok meter maksimum adalah sehingga ke 13,000.

Ketika menguji selaju mana D250 dapat dicapai pada kadar standard, mengikut ukuran fizikal saya (96kg dan 183cm), saya berjaya mencapai kelajuan maksimum iaitu 135kmj pada kelajuan meter (bukan GPS) ketika ujian dibuat atas lebuh raya. Saya merasakan kelajuan ini sudah cukup baik untuk sebuah motosikal 250cc bersilinder tunggal.

KESIMPULAN
MODENAS DOMINAR 250 ini, patut dipilih oleh individu-individu yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama ulang alik kerja. Terutamanya bagi mereka yang terpaksa menempuh perjalanan dalam lingkungan 100km sehari pergi dan balik. Ini kerana, selain kedudukan penunggangnya yang lebih `rileks’, tidak terlalu membongkok dan kusyen pelana yang agak tebal dan selesa, prestasi enjinnya sangat sesuai untuk perjalanan jarak sederhana dan jauh.

Namun, saya menghadapi perasaan bercampur aduk tentang corong penyerap bunyi ekzosnya. Dari segi fizikal, ia agak menarik, sporty dan nampak kukuh serta kemas. Malah, bunyi corong ekzosnya pun agak bass dan mendalam. Sedap didengari!

Tetapi, ia dirasakan agak memberikan tambahan berat yang tidak diperlukan untuk model ini.

Sekiranya digantikan dengan ekzos corong tunggal, ia sepatutnya lebih efisien dan mampu memberikan prestasi tujahan dan kelajuan yang lebih baik akibat daripada pengurangan berat ini.

Ketika dilancarkan pada Mei 2023, harga pasaran tanpa kos insurans, cukai jalan dan kos pendaftaran, adalah sekitar RM13,797.

Harga ini, walaupun agak murah untuk harga pasaran motosikal model 250cc, namun memandangkan harga D400 versi adventure adalah sekitar RM 15,797 sahaja, saya rasakan lebih berbaloi memilih D400. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN