Medan SK318 di Sarawak mengeluarkan gas pertama

Medan SK318 di Sarawak mengeluarkan gas pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas mengumumkan medan minyak Timi di Blok SK318 terletak kira-kira 200 kilometer (km) di luar pantai Sarawak, berjaya mengeluarkan gas pertamanya pada 22 Ogos lalu.

Blok SK318 dikendalikan oleh Sarawak Shell Berhad dengan 75 peratus kepentingan, bersama Petronas Carigali Sdn. Bhd. (15 peratus) dan Brunei Energy Exploration (10 peratus).

Pembangunan medan Timi terdiri daripada platform tetap kepala telaga baharu yang disambungkan ke hab pengeluaran F23 melalui saluran paip sepanjang 80 km.

Dipasang di kedalaman kira-kira 143 meter, ia merupakan platform tetap paling dalam di Malaysia setakat ini.

Kedua-dua bahagian atas dan substruktur direka secara tempatan, direka bentuk tanpa pemandu dan dikuasakan oleh sistem tenaga hibrid solar dan angin.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, pihaknya gembira Shell dapat mengoptimumkan pembangunan Timi, platform yang mampu menghasilkan sehingga 300 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) menggunakan kurang daripada 5kW penjanaan kuasa berterusan.

“Kami amat berbangga dengan kerjasama kami dengan Kontraktor Blok SK318 dan penyedia perkhidmatan mereka, yang gigih menyiapkan projek dalam tempoh singkat dua tahun sejak FID dalam tempoh yang bertepatan dengan pemulihan pasca pandemik Covid-19.

“Pencapaian itu tidak mungkin dapat diraih tanpa sokongan padu Kerajaan Negeri Sarawak, penjelmaan sebenar semangat kerjasama yang wujud dalam industri huluan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih untuk menggerakkan kemudahan luar pesisir Malaysia merupakan komponen utama strategi MPM dalam mewujudkan industri huluan yang lebih mampan.

Petronas melalui MPM, menguruskan pengaturan petroleum di Malaysia dan menyediakan pengawasan terhadap aktiviti petroleum huluan dalam memenuhi permintaan tenaga pelanggannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN