Matrix Concepts catat untung bersih RM64.6 juta

Matrix Concepts catat untung bersih RM64.6 juta

MOHAMAD HASLAH MOHAMAD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan pertumbuhan 37.3 peratus dalam keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM64.6 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1Q24) daripada RM47.0 juta suku sebe­lumnya.

Keuntungan bersih yang lebih tinggi itu merupakan pertumbuhan keuntungan bersih suku keempat berturut-turut yang direkodkan oleh Syarikat.

Pada suku dikaji, perolehan Syarikat tumbuh kukuh sebanyak 44.6 peratus kepada RM331.4 juta daripada RM229.3 juta tempoh sebelumnya.

“Pertumbuhan kukuh itu disebabkan terutamanya oleh sumbangan daripada projek pembangunan di Sendayan, pembangunan perbandaran utama Kumpulan.

“Pendapatan daripada pembangunan di Sendayan me­ngalami pengambilan yang besar sebanyak 55.3 peratus kepada RM300.0 juta pada 1Q24, pe­ningkatan ketara daripada sebe­lumnya berjumlah RM193.2 juta,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, perbandaran Bandar Seri Impian Kumpulan di Kluang mencatatkan hasil RM8.0 juta, 46.4 peratus lebih rendah daripada RM14.8 juta sebelum­nya.

Selain itu, Kumpulan baru-baru ini telah menyiapkan pemba­ngunan pertama di Lembah Klang, The Chambers, dan projek kedua di Australia, M. Greenvale, yang masing-masing mencatat pendapatan sebanyak RM11.1 juta dan RM2.2 juta.

Kumpulan terus mencatatkan jualan hartanah baharu yang konsisten sebanyak RM305.3 juta berbanding RM309.2 juta yang dicapai tahun sebelumnya.

Dengan jualan hartanah baharu yang kukuh, jualan belum dibilkan Kumpulan berjumlah RM1.45 bilion setakat 30 Jun 2023.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim pertama seba­nyak 2.5 sen sesaham, mewakili jumlah pembayaran dividen sebanyak RM31.3 juta atau 49.1 peratus daripada PAT 1Q24 de­ngan pembayaran dijadual pada 5 Oktober 2023.

Sementara itu, Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, Kumpulan gembira untuk memulakan tahun kewangan 2024 (TK2024) dengan kukuh, setelah pulih daripada gangguan yang dialami dalam beberapa tahun ke­belakangan.

“Pertumbuhan yang stabil dalam prestasi kewangan kami mencerminkan keyakinan kami mengenai prospek Kumpulan pada TK2024.

“Rancangan sedang dibuat untuk mempercepatkan aktiviti pembinaan dan kami kini berada dalam kedudukan yang selesa untuk pelancaran (projek baharu) kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Tinjauan kami juga disokong oleh pasaran hartanah yang bertambah baik, mengukuhkan keyakinan kami untuk pertumbuhan yang mampan pada TK2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN