ISKANDAR PUTERI: Sebanyak RM76 bilion pelaburan terkumpul dalam pembangunan pusat data di seluruh negara sejak 2021 hingga Mac tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemasukan pelaburan tersebut selari dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab pusat data di rantau Asia.
“Sekarang ini sudah banyak (pelaburan melibatkan pusat data). Jadi, apabila kita lihat pertumbuhannya, memang besarlah dan sasaran kita adalah menjadi hab pusat data bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, malah di Asia.
“Antara faktor yang mendorong pelaburan pusat data di negara ini termasuk dasar kerajaan dan galakan mengenai tenaga boleh diperbaharui (RE), tanah serta ekosistem ekonomi digital sedia ada,” katanya selepas merasmikan Kampus Pusat Data GDS NTP di Taman Teknologi Nusajaya, di sini semalam. Turut dihadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.
Sementara itu dalam ucapannya, Tengku Zafrul memberitahu, sektor ekonomi digital kekal penyumbang utama hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM348 bilion pada 2021 atau kira-kira 23.2 peratus.
“Sektor ekonomi digital dijangka terus meningkat menjelang 2025 dengan anggaran pelaburan sebanyak RM382 bilion atau kira-kira 25.5 peratus KDNK tahun berkenaan.
“Bagi pelaburan pusat data pula, kita jangka peningkatan pelaburan sebanyak 16 peratus sejak 2021 hingga 2026, dengan nilai RM9.36 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, kementeriannya turut mengalu-alukan cadangan pelaburan baharu daripada syarikat Saudi Aramco di Kemaman, Terengganu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat tentang pelaburan tersebut dan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak dan gas terbesar dunia itu.
“Petronas dan Saudi Aramco sudah mempunyai pelaburan bersama di Pengerang, Kota Tinggi sejak 2017 yang melibatkan pelaburan bernilai AS$7 bilion.
“Kalau mereka nak pergi Terengganu dan teruskan pelaburan di Malaysia, maka kita di MITI dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) mengalu-alukan pelaburan itu,” katanya. – UTUSAN










