PETALING JAYA: Lazada mengeluarkan Laporan Impak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Impact Report 2023) : Memperkayakan Kehidupan, Tampil Lebih Kukuh bagi tahun kewangan 2023 (TK2023).
Laporan tahunan tersebut memaparkan maklumat tentang komitmen Lazada ke arah memanfaatkan eDagang sebagai faktor pemangkin ke arah kebaikan (force for good) berdasarkan empat tonggak rangka kerja ESG Lazada yang telah diumumkan pada tahun lepas, iaitu: Memperkasakan Komuniti, Tenaga Kerja Sedia-Masa Hadapan, Pengawasan Bertanggungjawab, dan Tadbir Urus Efektif.
“Laporan Impak ESG Lazada TK2023 (Lazada Group ESG Impact Report 2023) memperincikan pendekatan dan prestasi ESG Lazada Group merentasi operasi di enam buah negara – Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – serta operasi anak syarikatnya, RedMart di Singapura, bagi tempoh pelaporan 1 April 2022 hingga 31 Mac 2023 (TK2023), kecuali jika dinyatakan sebaliknya.
“Laporan itu juga merangkumi data daripada tempoh pelaporan terdahulu iaitu 1 April 2021 hingga 31 Mac 2022 (“TK2022”) untuk perbandingan jika berkenaan,” jelas platform eDagang itu dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group, James Dong berkata, sepanjang lebih satu dekad, Lazada telah memacu pertumbuhan di Asia Tenggara dalam sektor perdagangan dan teknologi.
Beliau berkata, selaras dengan Laporan Impak ESG yang kedua itu, beliau amat berbesar hati untuk berkongsi kemajuan yang telah dicapai dan amat yakin bahawa syarikat mampu berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang.
“Justeru, usaha yang dipertingkatkan untuk fasa pertumbuhan yang seterusnya, elemen kemampanan dan kelestarian akan terus menjadi tonggak panduan kami.
“Pembangunan yang mampan bukan sahaja merupakan satu tanggungjawab, malah ia juga mampu mewujudkan peluang serta merangsang usaha demi kelestarian bersama. Dengan kolaborasi bersama, kita mampu memperkayakan kehidupan semua pihak yang bergiat dalam ekonomi digital, lantas membina masa hadapan yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Laporan tersebut memaparkan pelbagai pencapaian dan kemajuan ESG Lazada dalam tempoh pelaporan TK2023, antaranya:
● Memperkasakan Komuniti
o Impak sosio-ekonomi yang positif
o Penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan pembinaan kapasiti demi memperkasakan komuniti
di seluruh Asia Tenggara
● Tenaga Kerja Sedia-Masa Depan
o Persekitaran kerja yang inklusif dan penuh kepelbagaian
o Pengalaman pembelajaran yang komprehensif untuk semua
● Pengawasan Alam Sekitar Bertanggungjawab
o Jejak karbon yang lebih rendah
o Inisiatif logistik mampan
● Tadbir Urus Efektif
o Langkah keselamatan siber yang diperkukuh
o Amalan terbaik demi melindungi hak harta intelek (intellectual property rights – IPR) serta proses
yang berkaitan
Sementara itu, Kaunsel Am Lazada Group, Gladys Chun berkata, sejak penerbitan Laporan Impak ESG Lazada Group yang pertama pada tahun lepas, syarikat semakin bersemangat apabila menyaksikan hasil dan pencapaian yang memberangsangkan menerusi pelbagai inisiatif dan usaha konsisten Lazada.
Malah katanya, ia membuktikan komitmen dan perspektif jangka panjang ke arah pembangunan yang mampan dan lestari, bukan sahaja untuk Lazada, malah bagi industri perdagangan digital secara keseluruhan.
“Usaha ke arah menangani isu ESG bukan sekadar keupayaan untuk melakukan perkara yang betul, malahan lebih daripada itu, kerana ianya meliputi penubuhan dasar asas yang membolehkan organisasi untuk menguruskan risiko dan memaksimumkan peluang dengan lebih efisyen, demi membina perniagaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Tambah beliau, Laporan Impak ESG Lazada TK 2023 telah dirangka berdasarkan piawaian Global Reporting Initiative (GRI) 2021. – UTUSAN










