PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2023 (1H 2023), peningkatan RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.
Jumlah itu selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut, jelas KWSP.
Katanya, daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.
“Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua (S2 2023) ialah RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
“Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2023 pada RM9.60 bilion. Sebagai perbandingan, kelas aset ini menjana pendapatan RM4.07 bilion pada suku yang sama pada 2022,” katanya dalam kenyataan.
Menurut dana pencen itu, sebahagian besar daripada peningkatan tersebut disumbang oleh langkah proaktif dan ketepatan dalam merealisasikan keuntungan, disokong oleh peningkatan pasaran keuntungan sekuriti MTM.
Selepas mengambil kira turun nilai kos, angka itu menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi
suku tersebut, katanya.
Tambahnya, lanjutan daripada pengurusan portfolio yang aktif oleh pengurus dana KWSP, turun nilai kos bagi S2 2023 adalah secara relatifnya minimum pada RM0.35 bilion, berbanding RM2.15 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2022.
Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat, jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pPrestasi pasaran ekuiti global pada separuh tahun pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.
Menurut beliau, ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekaligus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut.
“Ini berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh tahun pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad.
“Bagi Malaysia, pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6% pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh.
“Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal
domestik,” kata beliau. – UTUSAN










