Jurang golongan kaya, miskin semakin meluas - Gabenor BNM

Jurang golongan kaya, miskin semakin meluas – Gabenor BNM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jurang antara golongan kaya dan miskin di negara ini semakin meluas, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour.

Justeru, Shaik Abdul Rasheed berkata, dasar ekonomi dan kewangan hari ini bakal menentukan hala tuju dan trajektori pembangunan negara pada masa hadapan.

Kata beliau, rencana dasar Ekonomi Madani memerlukan tekad dan laksana untuk membebaskan Malaysia daripada terjerat sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Namun begitu, wawasan Ekonomi Madani menuntut lebih daripada itu kerana jurang di antara golongan yang kaya dan miskin semakin meluas.

“Ia perlu ditangani dan diimbangi dengan pembangunan sebuah masyarakat yang inklusif, adil, saksama, dan mengekalkan integriti sosial,” katanya berucapan pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam konteks ini, Shaik Abdul Beliau berkata, sektor kewangan berperanan penting memangkin pertumbuhan sesebuah ekonomi dan perlu menjadi pengantara dikalangan golongan berpendapatan lebih dengan mereka yang memerlukan dana menyediakan modal dan kredit kepada ekonomi.

Katanya, selain itu ia perlu memudahkan pelbagai jenis transaksi kewangan dan memungkinkan pengurusan risiko melalui pelbagai instrumen dan produk.

Tambah beliau, BNM berhasrat untuk membangunkan sektor kewangan yang progresif, teguh, telus dan bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada kemajuan yang lebih adil, setara, bermakna dan inklusif buat rakyat negara ini.

“Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 merupakan rencana BNM ke arah matlamat ini di mana pelan berkenaan lahir dengan tiga objektif utama iaitu kewangan untuk semua, kewangan untuk transformasi dan kewangan untuk kelestarian.

“Pelan ini bermisi untuk menjadikan sektor kewangan lebih dinamik demi memenuhi keperluan ekonomi dan menjadikannya lebih terangkum, memberi nilai kepada pihak berkepentingan dan adil kepada pengguna,” katanya.

Perdana Menteri pada Julai lalu melancarkan kerangka Ekonomi Madani yang menggariskan dua fokus utama bertujuan mestruktur semula ekonomi agar Malaysia kembali gah menjadi peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Julai lalu, Jabatan Perangkaan (DOSM) mengeluarkan 33 laporan dalam satu Majlis Pengumuman Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 termasuklah Laporan Kemiskinan Malaysia 2022 dan Laporan Ketidaksamarataan Pendapatan Malaysia 2022 serta Intisari Pendapatan Perbelanjaan Kemiskinan Ketidaksamarataan 2022.

Memetik laporan media, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, biarpun secara umumnya pendapatan isi rumah di Malaysia meningkat, namun begitu jurang pendapatan antara etnik masih ketara.

Katanya, jurang pendapatan antara etnik Cina dan bumiputera direkodkan pada kadar 1:0.71 (2022) berbanding 1:0.72 (2019) manakala jurang pendapatan antara etnik Cina dan India pula ialah 1:0.84 pada 2022, sedikit lebih baik berbanding 2019 (1:0.83).

Dari sudut analisis insiden kemiskinan mutlak pula, Mohd Uzir menyatakan, nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi 2022 adalah RM2,589 (2019: RM2,208) dengan nilai PGK makanan sebanyak RM1,198 (2019: RM1,169).

Berdasarkan kepada kajian anggaran kemiskinan yang dijalankan oleh DOSM kesan daripada pandemik COVID-19, insiden kemiskinan pada 2020 telah meningkat kepada 8.4 peratus dan sedikit menurun kepada 8.2 peratus pada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN