Jumlah ahli KWSP terus meningkat kepada 15.09 juta

Jumlah ahli KWSP terus meningkat kepada 15.09 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah keahlian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada separuh pertama 2023 (1H 2023) terus meningkat kepada 15.09 juta dengan 8.47 juta daripadanya adalah ahli aktif.

Menurut KWSP, jumlah ahli aktif itu mewakili 50.62 peratus daripada 16.86 juta tenaga buruh di Malaysia.

“Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871.

“Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada 1H 2023, naik 16.8 peratus daripada RM43.23 bilion pada 1H 2022,” jelasnya dalam kenyataan.

KWSP berkata, pemulihan pasaran buruh di Malaysia dan usaha berterusan untuk menggalakkan ahli mencarum secara sukarela telah membantu KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, naik daripada 52%:48% pada S2 2022 kepada 53%:47% pada S2 2023.

Dana pencen itu turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 36 peratus dalam jumlah pencarum sukarela kepada 535,307 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, daripada 393,966 tempoh yang sama tahun lalu.

“Jumlah caruman terkumpul ialah RM3.93 bilion pada 1H 2023, meningkat sebanyak 46 peratus daripada RM2.70 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun ialah 31,128 pada 1H 2023, berbanding 9,765 pada 1H 2022,” jelasnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan, KWSP kekal komited terhadap kesejahteraan masa depan lebih 40 peratus tenaga kerja Malaysia yang masih tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial.

Kata beliau, memandangkan Malaysia sedang menyaksikan peralihan yang semakin berkembang ke arah tidak formal dan kemunculan ekonomi gig, KWSP menumpukan usaha terhadap memperluaskan liputan dengan menggerakkan mobile team KWSP secara aktif untuk mendaftar lebih ramai rakyat Malaysia dengan KWSP.

Sehingga Jun 2023, sebanyak 4,429 aktiviti liputan telah dijalankan, katanya.

Menurut beliau, kerjasama berterusan KWSP dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain dalam program perlindungan sosial telah membantu menggalakkan rakyat Malaysia dari sektor tidak formal untuk mendaftar dengan program caruman sukarela, i-Saraan KWSP.

“Pada 1H 2023, jumlah ahli berdaftar dengan i-Saraan meningkat kepada 1.07 juta, naik sebanyak 48 peratus daripada 725,944 pada 1H 2022,” tambah beliau.

Selain daripada khidmat nasihat ahli, KWSP juga katanya, aktif mendekati majikan dan menggalakkan mereka untuk mencarum lebih daripada kadar berkanun 12 peratus atau 13 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN