PETALING JAYA: Grab Malaysia komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menetapkan keutamaan tertentu serta menambah baik mutu perkhidmatan dan tahap perlindungan untuk rakan-pemandu dan rakan-penghantarnya.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, kerjasama itu susulan kepada usaha Syarikat dalam menyediakan persekitaran kerja yang menawarkan fleksibiliti, keselamatan kewangan, perlindungan, dan pembangunan profesional.
Sebagai platform, Grab katanya menyediakan peluang kerja fleksibel kepada pelbagai kumpulan rakan-pemandu dan rakan-penghantar yang sedia ada untuk memperoleh peluang pendapatan.
“Rakan Grab juga mempunyai fleksibiliti untuk beralih antara platform atau memulakan dan menamatkan kerja pada bila-bila masa, mengambil pelbagai peluang pendapatan, dan menentukan corak dan jam kerja mereka sendiri.
“Dalam mengambilkira perkara ini, Grab akan terus berusaha untuk kekal telus dan adil dalam menjana pendapatan rakan-pemandu dan rakan-penghantar kami,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Adelene, pihaknya berbesar hati diberi peluang untuk berdialog bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu.
Tambah beliau, selain menyediakan peluang pendapatan fleksibel yang bermakna untuk rakan-pemandu dan rakan-penghantar, Syarikat juga telah membuat pelaburan besar terhadap kebajikan dan kos kawal selia mereka untuk sepanjang tahun.
Ia membabitkan perlindungan insurans percuma, menggalakkan sumbangan PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peluang peningkatan kemahiran dan pembangunan profesional, inisiatif keselamatan, serta faedah harian seperti diskaun bahan api dan lain-lain.
Jelasnya, Grab beroperasi mengikut model di mana walaupun tahap perlindungan telah disediakan, rakan-penghantar dan rakan-pemandu masih diiktiraf sebagai pekerja bebas.
“Justeru, kami akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menambah baik perlindungan sosial dan memastikan penyediaan peluang peningkatan kemahiran untuk rakan-pemandu dan rakan-penghantar kami, sekaligus melengkapi mereka dengan latihan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi gig yang sedang berkembang,” katanya. – UTUSAN










