Glostrext kembang perniagaan ke Singapura

Glostrext kembang perniagaan ke Singapura

MAJLIS penyenaraian Glostrext Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Glostrext Berhad (Glostrext) akan memanfaatkan penyenaraiannya sebagai platform bagi mengembangkan perniagaan instrumentasi dan pemantauan struktur serta tanahnya ke Singapura.

Syarikat tersebut yang berjaya mengumpul sejumlah RM20.1 juta menerusi langkah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities), akan menggunakan sebanyak RM11.7 juta atau 58.2 peratus daripada jumlah terkumpul itu untuk membiayai rancangan pengembangan perniagaannya di Singapura serta bagi tujuan modal kerja.

Glostrext merupakan penyedia perkhidmatan instrumentasi dan pengujian geoteknikal.

Pengarah Urusan Glostrext, Ir. Dr. Lee Sieng Kai berkata, Syarikat akan memanfaatkan kehadiran di Singapura pada masa ini bagi mengembangkan lagi perkhidmatan di negara tersebut menerusi tawaran perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur serta tanah dalam masa yang nyata menggunakan platform Glostrext WiNA.

Beliau berkata, di Singapura, pertumbuhan dalam peruntukan kerajaan untuk subsektor pengangkutan adalah daripada S$5.33 bilion pada 2020 sehingga paras tertinggi S$9.42 bilion dalam 2023.

“Lebih 40 peratus diperuntukkan bagi pengembangan rangkaian rel dan projek-projek berkaitan yang berfungsi sebagai asas kukuh untuk permintaan berterusan yang membolehkan kemajuan perkhidmatan instrumentasi dan pengujian geoteknikal,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bangunan 2003, pengujian beban cerucuk adalah diwajibkan manakala pemantauan geoteknikal diperlukan untuk semua pembinaan bangunan dan infrastruktur di Singapura.

“Kami percaya berada dalam kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada keperluan tersebut bagi memperoleh jualan serta mengembangkan lagi perniagaan kami di Singapura,” katanya.

Setakat 30 Jun 2023, perkhidmatan pengujian instrumen cerucuk dan beban statik Glostrext, disediakan terutamanya kepada pelanggan di Singapura dan Malaysia, manakala perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur serta tanah pula terutamanya disediakan untuk pelanggan di Malaysia.

Dalam pengumuman prestasi suku terkini Kumpulan, Glostrext mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.46 juta, didorong oleh perolehan hasil RM6.43 juta bagi suku pertama berakhir pada 30 Jun 2023 (1Q TK2024).

Hasil Syarikat bagi 1Q TK2024 disumbangkan terutamanya daripada perkhidmatan instrumentasi cerucuk dan pengujian beban statik selain segmen perkhidmatan instrumentasi serta pemantauan struktur dan tanah, masing-masing berjumlah RM5.37 juta dan RM0.94 juta atau mewakili 83.5 peratus dan 14.6 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN