PETALING JAYA: Direct Lending, platform pinjaman digital, mengumumkan kerjasama dengan PETRONAS AutoExpert untuk menawarkan pelan ansuran servis kereta digital patuh syariah.
Melalui kerjasama itu, PETRONAS AutoExpert telah menggunakan model ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL), sejajar dengan dedikasinya untuk menjadikan perkhidmatan servis kereta lebih ringkas dan mudah diakses, serta berharap dapat mengurangkan beban pengguna.
“Tersedia di 55 pusat PETRONAS AutoExpert di seluruh negara, pemilik kereta dapat melakukan pembayaran mereka dalam tempoh maksimum sehingga 12 bulan.
“Pusat PETRONAS AutoExpert pula akan menerima bil invois penuh terlebih dahulu – yang mana ini secara tidak langsung mempromosikan aliran tunai yang sihat dan berpotensi meningkatkan jualan,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama turut menyaksikan PETRONAS AutoExpert akan memperoleh manfaat daripada tawaran inovatif berkenaan tanpa sebarang kos bagi tempoh minimum dua tahun.
Selain itu, semua kakitangan PETRONAS juga bakal menikmati kadar pembiayaan yang lebih rendah apabila menggunakan pelan ansuran tersebut di mana-mana pusat PETRONAS AutoExpert.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Mohd. Zameer Zahur Hussain pula berkata, pengguna disaran untuk mengambil peluang dengan pembayaran ansuran Direct Lending di semua cawangan PETRONAS AutoExpert.
“Ini ternyata dapat mengurangi beban perbelanjaan dengan lebih efisien terutama di dalam penjagaan kenderaan keluarga,” katanya.
Pengasas Direct Lending, Hui Yik Seong berkata, pihaknya berbesar hati untuk menawarkan pelan ansuran yang mematuhi prinsip syariah, memberi manfaat kepada semua, termasuk pelanggan yang dihargai PETRONAS AutoExpert.
“Kerjasama bertujuan meringankan beban kewangan penyelenggaraan kenderaan. Kami berharap pembiayaan yang lebih inklusif dan mesra pengguna untuk rakyat Malaysia ini, dapat memudahkan perjalanan pemilikan kenderaan mereka secara keseluruhan,” katanya.
Dengan hanya tiga langkah mudah, pemohon boleh mendapatkan pembiayaan dengan pantas dengan mengisi butiran mereka, menyerahkan kad pengenalan bersama penyata bank tiga bulan terkini, dan mengakhiri proses tersebut dengan membuat pembayaran pertama, menyediakan pembayaran bulanan dan menandatangani perjanjian pembiayaan- semuanya dilakukan melalui teknologi telefon pintar. – UTUSAN









