PETALING JAYA: Syarikat data dan kecerdasan buatan (AI), Databricks menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas Digital Sdn. Bhd. (Petronas Digital) untuk mempercepat inisiatif data dan AI bagi memajukan inovasi serta meningkatkan produktiviti.
Databricks dalam kenyataan berkata, melalui Platform Databricks Lakehouse, kerjasama itu bertujuan menyokong komitmen Petronas Digital bagi menggunakan data dengan selamat dan bertanggungjawab untuk memacu membuat keputusan dalam organisasi.
Jelasnya, kerjasama itu merancang membina model AI Generatif khusus untuk keperluan Petronas, menggunakan kes analitik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Petronas dan melatih bakat.
Databricks berkata, kerjasama itu juga membolehkannya menyediakan teknologi termaju Databricks dan alatan sains data terkini melalui University Alliance Databricks.
Tambahnya, kerjasama itu turut memanfaatkan Petronas sebagai rakan kongsi Databricks Marketplace untuk memperoleh pendapatan aset data dan model AI kepada ekosistem pengguna data yang besar dan terbuka daripada satu platform sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Digital, Phuah Aik Chong berkata, data dan AI memainkan peranan penting dalam mencipta nilai baharu dan mengekalkan pertumbuhan perniagaan di Petronas.
“Melalui gabungan dengan Databricks, kami yakin untuk maju ke arah data dan masa depan yang dipacu AI serta untuk terus membuka kunci nilai baharu untuk organisasi. Kerjasama ini menyerlahkan komitmen kami terhadap inovasi,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar Databricks Asia Pasifik dan Jepun, Ed Lenta berkata, data dan AI adalah keutamaan untuk perniagaan di seluruh dunia dan pihaknya sangat teruja memperdalam perkongsian dengan Petronas.
“Ini membolehkan kami menyokong data dan visi AI dengan Platform Databricks Lakehouse, mendemokrasikan data, analitik dan AI di seluruh organisasi.
“Saya yakin teknologi, sumber dan latihan kami akan membantu membina budaya dipacu data dalam Petronas serta membina bakat generasi data dan AI di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










