PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan pembiayaan kepada lepasan ijazah dan kakitangan universiti berkenaan.
Melalui kerjasama itu, BSN menawarkan pembiayaan peribadi tanpa cagaran iaitu `BSN MyRinggit/i-Postgraduate‘ khusus bagi bakal pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di UPSI.
Pembiayaan BSN MyRinggit/i – Postgraduate ditawarkan kepada bakal pelajar yang sedang bekerja dan ingin melanjutkan pengajian bagi Program Lepasan Ijazah Secara Separuh Masa dan Program Pengajian Siswazah Secara PESISIR (program akademik yang dijalankan di pusat-pusat pembelajaran di luar kampus yang diluluskan oleh universiti).
“Jumlah yang boleh dimohon bagi pembiayaan di bawah skim Islamik ini adalah di antara RM5,000 sehingga RM50,000 dengan tempoh 1 hingga 10 tahun bergantung kepada kelayakan pemohon.
“Inisiatif ini adalah hasil keprihatinan kedua-dua pihak dalam menangani kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dari segmen tertentu untuk mendapatkan pembiayaan bagi menampung kos pengajian mereka,” jelas BSN dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, BSN sentiasa mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan demi memenuhi keperluan pelanggan dari pelbagai segmen.
Katanya, ia selaras dengan visi Bank iaitu ‘Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan’.
“Justeru, melalui jalinan strategik ini akan dapat membantu para pelajar menampung yuran pengajian dan kos sara hidup selain membuka peluang kepada lebih ramai individu melanjutkan pelajaran di UPSI,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyambut baik inisiatif BSN yang bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar pascasiswazah, malah kakitangan.
“UPSI mengalu-alukan kerjasama ini dalam bersama-sama BSN memperkasakan bidang pendidikan tinggi di negara ini,” katanya.
BSN juga menawarkan pembiayaan peribadi dengan kadar yang menarik kepada kakitangan UPSI di bawah ‘Skim Kakitangan Korporat’(SKK). Tempoh pembiayaan antara 1 hingga 10 tahun dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM400,000.
Selain itu, BSN juga menawarkan ‘Kad Kredit-i Korporat’ kepada kakitangan khas UPSI bagi memudahkan urusan perbelanjaan sewaktu menjalankan tugas rasmi sama ada di dalam mahupun luar negara. – UTUSAN










