PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mempertimbangkan kadar faedah yang lebih ketat memandangkan permintaan domestik yang teguh dan berdaya tahan, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu dalam ringkasan ekonomi berpendapat, berikutan keluaran Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Suku Kedua 2023, dengan perbelanjaan dijangka terus berkembang, IHPRP berkemungkinan akan mengekalkan inflasi pada suku akan datang,.
Walau bagaimanapun, MIDF Research berkata, penyederhanaan mungkin berterusan disebabkan oleh kesan asas yang lebih tinggi.
“Purata IHPRP sebanyak 114.9 mata pada suku kedua 2023, meningkat 2.7 peratus berbanding 111.9 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Kebanyakan subsektor mencatatkan peningkatan pada suku ini, terutamanya aktiviti perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman mencatatkan peningkatan 6.3 peratus (suku pertama 2023: 8.3 peratus) dan subsektor pengangkutan meningkat sebanyak 4.8 peratus (suku pertama 2023: 6.5 peratus),” katanya.
MIDF Research berkata, inflasi IHPRP perlahan kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2023), daripada 3.4 peratus pada suku pertama, kenaikan paling perlahan dalam empat suku.
Tambahnya, kenaikan harga yang lebih perlahan itu disebabkan terutamanya oleh inflasi pengangkutan yang sederhana, yang merupakan kedua terbesar dari segi wajaran dalam SPPI iaitu susut kepada paras terendah empat suku tahun sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, IHPRP meningkat 2.7 peratus kepada 114.9 mata pada suku tahun kedua 2023, berbanding 111.9 mata suku sama tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, kebanyakan subsektor merekodkan peningkatan harga pada suku dilaporkan.
Jelasnya, indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding suku pertama 8.3 peratus, disebabkan oleh peningkatan dalam restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (7.2 peratus), manakala subsektor pengangkutan meningkat 4.8 peratus (ST1: 6.5 peratus) disumbangkan oleh pengangkutan penumpang udara (19.5 peratus).
Pada masa yang sama katanya, subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah kesenian, hiburan dan rekreasi yang meningkat 2.0 peratus; pendidikan (1.0 peratus), profesional (0.5 peratus) dan kesihatan (0.3 peratus). – UTUSAN










