TENTU ramai yang masih tidak tahu dan terasa asing apabila mendengar mengenai hartanah pendanaan ramai atau property crowdfunding.
Ini kerana mekanisme tersebut lebih biasa diguna pakai di negara luar seperti Property Moose di United Kingdom, Fundrise di United States dan CrowdfundUP di Australia.
Di negara luar, pendanaan ramai bagi sektor hartanah lebih bertujuan untuk mendapatkan sejumlah modal daripada orang ramai bagi membiayai sesuatu projek pembangunan hartanah.
Sebaliknya, di Malaysia, skim pendanaan ramai ini pernah diperkenalkan dalam Belanjawan 2019 namun memberi keutamaan dalam menyediakan pembiayaan kepada pembeli kediaman kali pertama.
Platform itu adalah satu skim pembiayaan atau pinjaman terbuka antara rakan setara atau peer-to-peer (P2P) yang akan dipacu oleh sektor swasta dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pendanaan ramai untuk membiayai pembangunan hartanah boleh dikatakan sama dengan pelaburan ekuiti kerana pelabur boleh membeli hartanah dan menjadi pemegang saham.
Ujarnya, pelbagai organisasi boleh menggunakan pendanaan ramai untuk mendapatkan modal yang boleh menjadi alternatif yang mungkin lebih baik daripada melalui pengumpulan berlandaskan ekuiti seperti Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan hutang seperti sukuk atau bon.
“Dari perspektif pelabur pula, pendanaan ramai menawarkan pelabur peluang untuk menjadi pemegang saham dalam syarikat atau dalam projek harta tanah.
“Paling mudah, pendanaan ramai sering menggunakan platform dalam talian untuk mengumpul sejumlah kecil wang daripada ramai individu untuk meningkatkan jumlah yang diperlukan.
“Bagi industri hartanah pula, ia adalah salah satu cara yang popular untuk mempelbagaikan portfolio kewangan bagi para pelabur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 2018, kerajaan pernah melancarkan FundMyHome, iaitu platform pendanaan ramai bagi pembiayaan hartanah (Property Crowdfunding: PCF) dengan matlamat membantu pembeli rumah kali pertama melalui pinjaman rumah bukan tradisional daripada bank.
Inisiatif kerajaan ketika itu datang dengan dorongan untuk menerima era digital yang semakin meningkat.
Modus operandinya ialah membenarkan orang ramai untuk membeli rumah pertama mereka dan mendudukinya selama lima tahun dengan bayaran sekali sebanyak 20 peratus daripada harga pembelian, manakala baki 80 peratus dibiayai oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian.
Selepas lima tahun, pelanggan akan dapat memilih untuk membeli rumah sepenuhnya atau menjualnya.
Mengulas mengenai MyFundHome, Aimi Zulhazmi menjelaskan, antara tarikan utama untuk memiliki hartanah melalui inisiatif itu ialah daripada potensi peningkatan nilai.
Katanya, pada kebiasaan, harga hartanah meningkat dari semasa ke semasa, jadi pemilik boleh mengambil kesempatan daripada kenaikan nilai jika mereka memutuskan untuk menjualnya, dan pemilik yang tinggal di rumah perlu membeli harga tersebut iaitu sepadan dengan harga pasaran rumah.
“Namun, inisiatif ini boleh dikatakan gagal dan antara sebab utamanya adalah kerana pelabur tidak mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas pembeli rumah.
“Minat pelabur yang kuat dalam pulangannya dan penghindaran risiko mereka mungkin sudah menjadi titik permulaan yang berharapan tinggi, menyukarkan untuk sebarang jenis perjanjian yang saksama kepada kedua-dua pihak antara pelabur dan pemilik.
“Adalah selamat untuk mengandaikan, sebarang keuntungan daripada perubahan harga pasaran hartanah adalah atas perbelanjaan pembeli rumah, dan seterusnya pemilik perlu menghadapi jumlah yang lebih besar untuk membiayai semula selepas lima tahun iaitu bila mereka ingin menyimpan rumah tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, rangka kerja PCF menghadkan penggunaan kerana hanya dibolehkan untuk pembeli rumah kali pertama bagi hartanah kediaman bernilai RM500,000 atau ke bawah.
“Ia mungkin menyasarkan isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah serta keluarga baharu yang mungkin menghadapi isu tipikal tidak mendapat bank kelulusan pinjaman. Itu juga menunjukkan bahawa kumpulan ini mungkin mempunyai beberapa risiko kewangan.
“Selain itu, keperluan untuk membayar 20 peratus wang pendahuluan untuk mendapatkan perjanjian di bawah FundMyHome adalah sukar dicapai apabila ramai pembeli rumah kali pertama yang bergelut untuk mendapatkan 10 peratus untuk pinjaman bank biasa,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan, kajian yang lebih terperinci mengenai pelaksanaan pendanaan ramai hartanah perlu dilakukan yang akhirnya mungkin boleh menyelesaikan isu pemilikan hartanah di negara ini. – UTUSAN










