SETELAH selesai ijab kabul antara pasangan suami isteri, maka langkah seterusnya kebiasaannya adalah membeli rumah bersama bagi membina keluarga.
Bagi pasangan yang berkahwin pada usia muda, mereka mungkin belum lagi ada pengalaman membeli rumah pertama dan proses ini akan dikongsikan bersama dengan insan tersayang tersebut.
Walau bagaimanapun, membeli rumah melibatkan banyak tanggungjawab dan anda harus bersedia untuk memikulnya bersama pasangan anda.
Pelbagai isu harus diambil kira supaya pembelian hartanah tersebut tidak akan membebankan pasangan atau menimbulkan masalah dalam rumah tangga kelak.
Pengarah Urusan AFZ Realty, Sr Afizan Mohktar berkongsi dengan RINGGIT pada minggu ini tips kepada pasangan muda yang ingin membeli rumah bersama.
Periksa skor kredit
Situasi kewangan pasangan itu akan menentukan sama ada mereka boleh membeli rumah atau tidak.
Skor kredit anda adalah salah satu faktor yang paling penting dalam kelayakan untuk pinjaman kerana pasangan suami isteri dinilai sebagai satu unit oleh pembiaya.
Oleh itu, jika pasangan anda mempunyai skor kredit yang lemah, ia mungkin menjejaskan margin pembiayaan anda.
Pastikan tiada rekod kewangan yang buruk yang boleh disemak melalui laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau CTOS Data Systems Sdn. Bhd.
Gabung nama untuk pinjaman
Terdapat kebaikan dan keburukan berkongsi nama untuk membuat pinjaman bank bagi tujuan pembiayaan rumah.
Kebaikannya adalah gabungan pendapatan kedua-dua pasangan membolehkan mereka layak menerima jumlah pembiayaan lebih tinggi, seterusnya dapat membeli rumah yang lebih baik.
Bagaimanapun, jika berlaku perpisahan antara pasangan tersebut, perkara itu mungkin akan menjadikan proses lebih rumit dalam soal pembahagian.
Pemilihan lokasi
Lokasi memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan jenis rumah, harga, komuniti dan sebagainya.
Pemilihan lokasi bergantung kepada kehendak dan keperluan pekerjaan masing-masing.
Namun begitu, pembeli dinasihatkan untuk memilih lokasi yang berdekatan dengan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT) kerana boleh menjadi satu pelaburan yang sangat baik pada masa depan.
Pemilihan ejen
Pasangan yang mahu membeli rumah juga perlu memilih ejen hartanah berdaftar bagi memudahkan proses pembelian rumah.
Ejen mempunyai senarai hartanah yang boleh membantu pembeli memilih hartanah yang dikehendaki kerana mereka adalah terlatih dan professional.
Kawal nafsu berbelanja
Perbelanjaan seperti kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi boleh mempengaruhi kedudukan kewangan pasangan tersebut.
Jika semua ini dapat dikawal, maka lebih mudah untuk mereka mendapatkan rumah pertama. – UTUSAN










