PETALING JAYA: Angka-Tan Motor Sdn. Bhd. (ATM) memperkenalkan JMC Vigus Pro All-Essential White Series, kenderaan pikap 4×4 automatik yang paling berpatutan di pasaran untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan yang semakin meningkat, termasuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dengan harga jualan RM99,888, JMC Vigus Pro White Series merupakan trak 4X4 bertransmisi automatik yang dijual pada harga terbaik dalam pasaran kenderaan segmen satu tan, menjadikannya The All-Essential Workhorse (Trak Serba Guna, Serba Lengkap) bagi korporat dan PKS.
Ketua Pegawai Operasi Warisan TC Holdings Bhd. dan Pengarah Eksekutif Angka-Tan Motor, Tan Keng Meng berkata, pencapaian ATM sentiasa terletak pada pemahaman terhadap kehendak pelanggan dan pasaran.
Katanya, selepas kejayaan pelancaran JMC Vigus Pro pada 2021, Syarikat menerima banyak maklum balas daripada komuniti perniagaan.
“Mereka memerlukan trak 4×4 yang boleh dipercayai dan berketahanan tinggi dijual pada harga yang berpatutan, serta serba boleh untuk membantu perniagaan mencapai prestasi yang baik – JMC Vigus Pro All-Essential White Series adalah jawapannya,” katanya dalam kenyataan.
JMC Vigus Pro White Series memberikan tumpuan kepada penawaran terbaik dalam aspek penting dengan menitikberatkan prestasi tanpa ciri-ciri yang berlebihan.
White Series masih dilengkapi dengan enjin diesel PUMA 2.0L TDI, transmisi automatik 8 kelajuan ZF dengan mod manual dan sistem pacuan empat roda BrogWarner.
Dijual pada harga yang kompetitif, pembelian JMC Vigus Pro White Series termasuk jaminan selama tiga tahun atau 100,000 kilometer (km).
Untuk ruang dalaman, trak menggunakan tempat duduk yang dibalut fabrik nyaman berpori. Bagi Premium Series, ditawarkan dengan ciri tambahan lain iaitu balutan kulit dan pelbagai aksesori termasuk DVR, lapisan filem cermin, visor pintu, ambang pintu dan bantuan but belakang, serta jaminan selama 5 tahun atau 150,000 km.
Trak JMC Vigus Pro dipasang secara tempatan (CKD) di kilang canggih Tan Chong Motor di Serendah, Selangor.
Sempena pelancaran JMC Vigus Pro White Series, Angka-Tan Motor mengadakan pertandingan pandu uji dan menang. Peserta pandu uji berpeluang memenangi baucar petrol BHP bernilai keseluruhan RM20,000. – UTUSAN










