Alliance Bank catat untung bersih RM150.5 juta

Alliance Bank catat untung bersih RM150.5 juta S1 TK2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM150.5 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (S1 TK2024).

Pendapatan faedah bersih meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun  disebabkan oleh volum pinjaman yang lebih tinggi manakala margin faedah bersih menyederhana kepada 2.43 peratus.

Bank mencatatkan pendapatan yuran berasaskan pelanggan (tidak termasuk pembrokeran) berjumlah RM78.6 juta.

Secara keseluruhan, hasil dicatatkan berjumlah RM466.3 juta manakala nisbah kos kepada pendapatan pada 49.3 peratus.

Pertumbuhan pinjaman keseluruhan meneruskan momentumnya, berkembang 7.9 peratus tahun ke tahun kepada RM49.7 bilion apabila pinjaman perusahaan kecil dan sederhana, komersial dan perbankan pengguna masing-masing meningkat 13.4 peratus, 11.7 peratus dan 7.1 peratus, katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pembiayaan berasaskan pelanggan meningkat 6.5 peratus, disokong oleh peningkatan dalam deposit tetap.

Nisbah akaun semasa akaun simpanan (CASA) kekal sihat dan merupakan antara yang tertinggi dalam industri pada 43.9 peratus.

Kos kredit bersih (S1 TK2024) ialah 7.1 mata asas, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman sebanyak 120 peratus.

Bank terus terlibat secara proaktif dengan pelanggan untuk membantu mereka menguruskan komitmen kewangan mereka.

“Bank mengekalkan kedudukan modal yang kukuh dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap-1 (CET 1) pada 13.7 peratus dan nisbah Modal Tahap-1 (14.6 peratus) pada 30 Jun 2023.

“Jumlah nisbah modal adalah pada 18.5 peratus. Kedudukan mudah tunai Bank juga teguh dengan nisbah perlindungan sebanyak 163.2 peratus dan nisbah pinjaman kepada dana sebanyak 85.8 peratus,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, dalam usaha  menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan melalui prestasi kewangan yang kukuh, perkhidmatan pelanggan terbaik dalam kelas dan kemajuan ESG yang kukuh, Bank terus mengutamakan sumber untuk memacu momentum dalam lapan tonggak pertumbuhan Acceler8.

“Strategi Acceler8 Alliance Bank membuahkan hasil yang positif, dibuktikan dengan pemerolehan lebih daripada 3,000 pelanggan perniagaan baharu (mewakili pertumbuhan 40 peratus tahun ke tahun). Di samping itu, pinjaman PKS meningkat sebanyak 11 peratus tahun ke tahun.

“Bank juga mempergiatkan pendekatan jualan silang dan mewujudkan program pembiayaan rantaian bekalan perniagaan ke perniagaan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menyediakan produk dan perkhidmatan inovatif untuk memberi perkhidmatan berterusan kepada perniagaan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN