KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyeru pengeksport tempatan menukar hasil eksport mereka dalam dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ringgit, dalam usaha mengukuhkan kedudukan mata wang negara.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memperlihatkan keyakinan syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap mata wang tempatan.
“Saya menyeru semua syarikat tempatan terutamanya GLC dan swasta supaya menukar hasil eksport di dalam dolar AS kepada ringgit meskipun terdapat jurang besar di antara mata wang kita dengan dolar AS.
“Ini kerana, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dan kita merupakan pengeksport bersih dan perlu mempunyai akaun semasa yang positif,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan setengah pengeksport tempatan enggan menukar hasil kepada ringgit.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pra-pelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023, anjuran Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Oktober ini.
Tambah beliau, pengeksport tempatan perlu menunjukkan sokongan mereka terhadap keyakinan mereka dalam menyokong ringgit untuk terus kukuh selain mengharapkan peranan kerajaan semata-mata.
Ditanya sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mewajibkan golongan berkenaan untuk menukar hasil eksport mereka kepada ringgit, Tengku Zafrul berkata, pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada bank pusat berkenaan.
Beliau berkata, langkah berkenaan pernah diambil oleh BNM pada 2016 bagi meningkatkan permintaan ringgit dan menyokong lindung nilai ringgit berbanding mata wang lain.
“Jadi, soal itu (wajibkan pengeksport tempatan) perlu tanya BNM dahulu kerana mereka pernah buat sebelum ini dan ia mempunyai kebaikan dan kekurangan, jadi saya serahkan kepada kebijaksanaan BNM bagaimana mereka akan mengawalnya.
“Tetapi saya menyeru syarikat tempatan dan GLC supaya menukar balik kepada ringgit dan saya faham mereka ada pemegang taruh masing-masing dan pemegang taruh mereka pun rakyat (Malaysia) juga,” katanya.
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dengan kerjasama BNM pada 2016 pernah mensyaratkan supaya pengeksport tempatan menukar 75 peratus hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit, hanya 25 peratus dibenar dikekalkan dalam mata wang asing.
Ia juga sebagai langkah bagi meningkatkan kecairan pasaran tukaran asing dan sekaligus memberi keseimbangan lebih baik terhadap pasaran tukaran asing tempatan.
Pengerusi FMC merangkap Penolong Gabenor BNM ketika itu, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, langkah yang akan diambil itu bermatlamat meningkatkan permintaan ringgit di pasaran dalam negara atau ‘onshore’.
“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat bergantung kepada perdagangan, kita amat memerlukan import dan eksport,” katanya ketika itu. – UTUSAN










