PETALING JAYA: Telekom Malaysia Bhd. (TM) melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada semua pekerja, termasuk eksekutif dan bukan eksekutif berumur 50 tahun ke atas.
Syarikat telekomunikasi itu berkata, inisiatif VSS tersebut telah menerima maklum balas positif daripada pekerja kerana ia menawarkan pilihan untuk bersara awal atau peluang untuk beralih ke laluan kerjaya yang berbeza.
“Skim ini dilakukan secara sukarela sepenuhnya, dan TM tidak menetapkan sebarang sasaran penerimaan untuk VSS ini,” katanya dalam kenyataan.
TM berkata, Kumpulan turut menjalankan libat urus bersama kesatuan sekerja dan pekerja berpotensi untuk memastikan ketelusan dan persefahaman bersama.
Jelasnya, pelaksanaan skim serupa oleh Kumpulan sebelum ini, telah mendapat maklum balas positif, menunjukkan minat ketara daripada segmen tertentu tenaga kerjanya.
“Di TM, kesejahteraan dan masa depan pekerja kami kekal penting kepada nilai kami, dan kami tidak berbelah bahagi dalam komitmen kami terhadap kebajikan keseluruhan dan cita-cita kerjaya mereka,” katanya. – UTUSAN










