Tisha’s Food lebarkan sayap dengan 50 produk halal

Tisha’s Food lebarkan sayap dengan 50 produk halal

SHAMSUL Shah Sulaiman menunjukkan produk Tisha’s yang telah memperoleh pensijilan halal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejak di awal penubuhan Tisha’s Food Manufacturing Sdn. Bhd. (Tisha’s) kira-kira 10 tahun lalu, Pengarah Eksekutifnya, Shamsul Shah Sulaiman sudah menetapkan azam untuk mendapatkan pensijilan halal bagi kesemua produknya.

Ternyata, perkara itu sememangnya tidak salah dititikbe­ratkan dan menjadi pendorong jualan Tisha’s melonjak lebih 100 peratus selain mampu meluaskan pasaran produknya sehingga ke luar negara.

Shamsul Shah berkata, sebelum mendapatkan pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), produk makanan sejuk beku Tisha’s dipasarkan dengan menggunakan slogan ‘Produk Muslim’ sahaja.

“Ketika itu, pasaran agak terhad kerana jika kita mahu memasarkan produk kita ke pasar raya atau hotel-hotel, produk tersebut perlu mempunyai logo halal. Selain itu, logo halal juga boleh meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap produk kita.

“Jadi, saya menghadiri seminar halal oleh Jakim dan ia membuka ruang kepada proses mendapatkan pengesahan halal yang lebih mudah dengan tempoh hanya enam bulan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, selepas kira-kira enam bulan melalui proses oleh Jakim, akhirnya lima produk awal Tisha’s berjaya mendapatkan logo halal iaitu Kpop Kulit Popia, Roti Paratha Original, Roti Canai, Roti Boom, Roti Paratha Original Jumbo, Roti Paratha Original Curry.

“Apabila diiktiraf halal, ia secara tidak langsung membantu kami melebarkan sayap ke pasar raya terkenal di negara ini antaranya Giant, Mydin, Aeon, ST Rosyam Mart, Segi Fresh dan banyak lagi.

“Lebih membanggakan, pro­duk Tisha’s juga kemudiannya menembusi pasaran luar negara iaitu Hong Kong, Singapura dan Maldives.

“Kini, Tisha’s Food sudah mendapat sijil halal untuk le­bih 50 produk kami yang mendorong jualan syarikat melebihi RM10 juta tahun lalu,” ujarnya.

Tegas Shamsul Shah, beliau berazam untuk menjadikan Tisha’s peneraju industri makanan dan minuman (F&B) Asia.

“Kita juga mahu membantu pelanggan dalam menyediakan makanan dan minuman yang terbukti halal kerana kita tahu kadang-kala sukar untuk memperoleh makanan halal terutama di luar negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN