MARANG: Syarikat pengeluar susu kambing terbesar di Malaysia, Tenox Agrobusiness (M) Sdn. Bhd. menyasarkan jualan sebanyak RM3 juta menjelang Disember tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Hariz Nordin berkata, ia peningkatan hampir 50 peratus berbanding jualan RM2 juta yang direkodkan tahun lalu.
Menurutnya, syarikat optimis dapat mencapai sasaran itu berdasarkan jualan RM900,000 yang telah direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
“Ketika ini pengeluaran susu kambing dengan kaedah UHT (ultra heat temperature) adalah sebanyak 90,000 botol sebulan. Syarikat akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sekali ganda dalam masa terdekat untuk mencapai sasaran jualan itu.
“Penggunaan mesin-mesin pemprosesan susu kambing berteknologi tinggi yang baru diperolehi akan membantu syarikat untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di kilangnya di Akademi Pengembangan Veterinar Jenang dekat sini, semalam.
Mula beroperasi pada 2019, syarikat itu turut mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu dan beberapa agensi kerajaan lain untuk membantu melebarkan lagi sayap perniagaannya.
Ketika ini, terdapat enam perisa susu kambing yang dikeluarkan dengan jenama Kaprima iaitu perisa asli, coklat, strawberi, jagung, kurma dan kopi susu pada harga RM3.50 untuk 125 mililiter.
Muhammad Hariz berkata, dalam masa terdekat, syarikat bercadang memperkenalkan tiga lagi perisa baharu iaitu Tongkat Ali, Caramel dan Mocha sebagai inisiatif untuk menembusi pasaran antarabangsa tidak lama lagi.
Bekas jurutera itu berkata, syarikat turut mendapat bantuan pinjaman dari Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk pembelian mesin baharu dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu untuk kod bar produk serta dari aspek pembungkusan dan pelabelan.
Menurutnya, dengan bantuan 12 pekerja di kilang tersebut serta 887 ejen di seluruh negara, syarikat yakin dapat menjadikan jenama Kaprima sebagai minuman susu kambing kegemaran rakyat Malaysia yang berkhasiat, bersih dan berkualiti tinggi. – UTUSAN










