Syarikat Malaysia capai potensi jualan AS$38.4 juta

Syarikat Malaysia capai potensi jualan AS$38.4 juta di SEMICON West 2023

PENGUNJUNG melawat Pavilion Malaysia di SEMICON West 2023, San Francisco, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Malaysia mencapai potensi jualan bernilai AS$38.4 juta (RM175.7 juta) pada pameran SEMICON West 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselarasi Eksport) MATRADE, Sharimahton Mat Saleh berkata, pencapaian itu menunjukkan minat dan keyakinan yang kukuh terhadap keupayaan teknikal Malaysia dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

Katanya, sebagai pautan utama dalam rantaian bekalan elektronik global, Malaysia menyumbang tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor global dan kira-kira 13 peratus daripada pemasangan, ujian dan pembungkusan cip global yang dilakukan di negara ini.

“SEMICON West adalah acara yang tidak boleh dilepaskan untuk pemain industri semikonduktor Malaysia.

“Tahun ini menandakan penyertaan ke-13 MATRADE di SEMICON West, mengukuhkan komitmen MATRADE yang tidak berbelah bahagi untuk mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

“Pavilion Malaysia dipenuhi dengan penglibatan peringkat atasan, termasuk beberapa pertemuan berprofil tinggi dengan gergasi industri global sepanjang acara tiga hari itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MATRADE, sebanyak 11 syarikat Malaysia menyertai SEMICON West 2023, yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai lalu.

Syarikat-syarikat tersebut adalah ATC Surface Finishing, Amerix Metal Machining Technology, Betamek (M) Electronics, CG Global, Coraza Systems, ECA Advanced Solutions, Ideal Vision, NSW Automation, QES Mechatronic, TT Vision Technologies dan ViTrox Technologies.

Pavilion Malaysia menampilkan rangkaian mikroelektronik yang pelbagai, termasuk produk dan teknologi termaju dalam peralatan ujian automatik (ATE), mesin pemeriksaan penglihatan, sistem pendispensan ketepatan, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan perkhidmatan ujian serta pemasangan semikonduktor sumber luar (OSAT).

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Los Angeles, Irvin Francis berkata, pihaknya sudah merancang untuk menyertai SEMICON West 2024 di San Francisco, California dan SEMICON West 2025 di Phoenix, Arizona.

“MATRADE kekal berdedikasi untuk meningkatkan kecemerlangan teknologi Malaysia di persada global. Kami akan terus meletakkan Malaysia secara strategik melalui kehadiran berterusan kami di acara ikonik sebegini,” jelasnya.

E&E adalah eksport utama Malaysia bernilai RM593.52 bilion pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN