PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat sedikit kepada AS$111.8 bilion pada 14 Julai 2023 daripada AS$111.4 bilion, 30 Jun lalu.
Bank Pusat itu dalam satu kenyataan berkata, paras rizab memadai untuk membiayai 5.1 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
“Komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (AS$99.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.4 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion).
“Aset pula merangkumi emas, pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM524.02 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.58 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.63 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM58.80 bilion),” katanya.
Sementara itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM184.34 bilion), mata wang dalam edaran (RM160.22 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM169.28 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM10 bilion) dan deposit lain (RM37.84 bilion), kertas Bank Negara (RM26.91 bilion), peruntukan SDR (RM29.95 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.52 bilion). – UTUSAN










