PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) diiktiraf sebagai Pasukan Perolehan 2023 untuk organisasi kecil dengan perolehan di bawah 500 juta pound sterling (RM2.9 bilion) di Anugerah Kecemerlangan Perolehan Asia Chartered Institute of Procurement & Supply (CIPS) 2023.
Syarikat usaha sama antara Kumpulan MMC yang berpangkalan di Malaysia dan Terminal APM yang berpangkalan di Hague itu, menerima pengiktirafan selepas pasukan perolehannya membuat peningkatan yang ketara terhadap prestasi dan budaya mereka.
Ini seterusnya membawa kepada peningkatan keberkesanan, pengaruh, kecekapan, penjimatan atau kelebihan daya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, pencapaian terbaharu itu dan pelbagai pencapaian lain yang ditetapkan oleh PTP selama ini menggariskan nilai yang diberikan Syarikat terhadap keseluruhan perniagaan dan ekosistem operasinya termasuk pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan semua pihak berkepentingan lain.
Katanya, PTP sentiasa menyemak dan memperhalusi hala tuju dan inisiatif strategiknya untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dengan pelaksanaan pelbagai strategi penambahbaikan.
“Ini dilakukan melalui pengoptimuman inventori, pendigitalan/automasi, kepelbagaian bekalan, penyetempatan, kerjasama/perkongsian, program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan lain-lain dalam komitmen kami untuk menyediakan dan menambah baik perkhidmatan untuk pihak berkepentingan dalaman dan luaran.
“Oleh itu, pencapaian penting ini adalah bukti kerja keras dan ketangkasan mereka di tengah-tengah persekitaran perniagaan semasa yang mencabar masa kini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebagai terminal pemindahan kapal terkemuka di Malaysia dan antara pelabuhan tersibuk di dunia, PTP berbangga dalam menjejaki langkah kemampanan. – UTUSAN










