PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), ahli Kumpulan MMC, bersama Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) terus memperkasa perubahan budaya dan minda masyarakat dalam memelihara alam sekitar melalui pelancaran program Eco Lestari.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kelab Alami Mukim Tanjung Kupang di PTP.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, program seperti Eco Lestari mampu menjadi sebuah wadah terbaik dalam membina budaya dan minda masyarakat dalam memelihara alam sekitar dengan matlamat untuk membina komuniti hijau yang mampan melalui amalan mesra alam dan kesukarelawanan.
“Segala usaha di pihak kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Ia memerlukan kerjasama dan penglibatan seluruh masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Besar LPJ, Monaliza Suhaimi berkata, adalah menjadi aspirasi LPJ untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat dan pada masa yang sama menanam rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama.
“Sebagai sebuah Pihak Berkuasa Pelabuhan yang bertanggungjawab mengurus kemajuan industri pelabuhan di Johor, LPJ terus komited menyokong agenda nasional kerajaan untuk menghijaukan Malaysia dengan mempergiatkan aktiviti-aktiviti kelestarian alam sekitar selari dengan perkembangan pelabuhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, program Eco Lestari mempunyai matlamat untuk membina komuniti hijau yang mampan melalui amalan mesra alam dan kesukarelawanan dengan penglibatan secara aktif masyarakat, terutamanya dari peringkat persekolahan.
“Kami melantik seramai 30 pelajar berpotensi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendas Laut, SK Tanjung Kupang dan SMK Tanjung Adang sebagai duta program Eco Lestari yang dinamakan ‘ECO Warriors.’
“Mereka ini akan didedahkan kepada ilmu teori dan praktikal yang akan dikelolakan oleh Kelab Alami, satu badan bukan kerajaan yang memfokuskan kepada pemeliharaan alam sekitar di sekitar Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah,” katanya.
Dengan matlamat untuk Membina Komuniti Mampan, Hijau dan Saksama Melalui Pemerkasaan Kebolehcapaian dan Pertumbuhan Ekonomi Untuk Negeri Johor, Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTP dibahagikan kepada tiga tunjang utama, Program Eco Lestari, Program Kasih Lestari dan Program Harapan Lestari. – UTUSAN