LONDON: Perjanjian yang diusahakan dalam sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin di Alaska umpama langkah perlahan menuju kekalahan Ukraine.
Sebelum pertemuan tersebut diadakan Jumaat ini, Trump mengumumkan beliau sudah hampir mencapai satu perjanjian yang mampu menyelesaikan konflik selama lebih tiga tahun itu.
Butiran mengenai potensi perjanjian tersebut belum didedahkan, namun Trump berkata, ia akan melibatkan pertukaran wilayah demi kebaikan kedua-dua pihak, yang jelas memberi kelebihan besar kepada Moscow.
Menurut cadangan awal yang dibawa utusan Trump, Steve Witkoff, Ukraine perlu menyerahkan baki wilayah Donetsk dan Luhansk kepada Russia sebagai pertukaran bagi gencatan senjata.
Rancangan tersebut dilihat selari dengan kehendak Kremlin yang mahu merampas wilayah itu tanpa pertumpahan darah.
Namun apa yang boleh diperoleh Ukraine daripada pertukaran seperti disebut Trump mungkin hanya kawasan sempadan kecil di wilayah Sumy dan Kharkiv yang kini diduduki Russia sebagai sebahagian zon penampan.
Walaupun ada pendapat yang mengatakan ia mungkin taktik awal Trump untuk mengambil hati Russia supaya bersetuju dengan gencatan senjata segera bagi menamatkan perang, Kyiv dan sekutu Eropahnya menganggap rancangan tersebut hanya akan menggalakkan lagi pencerobohan Moscow.
Sebagai tindak balas segera, pegawai-pegawai Eropah dilaporkan mengemukakan cadangan damai mereka sendiri kepada AS supaya perjanjian yang bakal dimeterai lebih stabil dan adil kepada Ukraine.
Cadangan perjanjian damai Eropah
Naib Presiden AS, JD Vance, bertemu dengan pemimpin Ukraine dan sekutu Eropah di Britain kelmarin untuk membincangkan desakan Trump bagi mencapai perdamaian.
Akhbar The Wall Street Journal melaporkan, pegawai-pegawai Eropah membentangkan cadangan balas yang menuntut gencatan senjata diadakan sebelum sebarang langkah lain diambil.
Cadangan balas itu menekankan sebarang pertukaran wilayah mestilah bersifat timbal balik dan disertakan dengan jaminan keselamatan yang kukuh.
“Anda tidak boleh memulakan proses dengan menyerahkan wilayah di tengah-tengah pertempuran,” kata seorang perunding Eropah yang dipetik dalam laporan tersebut.
Zelenskyy menyifatkan pertemuan itu sebagai membina dalam ucapan malam kepada rakyat Ukraine.
“Semua hujah kami didengari. Jalan menuju keamanan untuk Ukraine mestilah ditentukan bersama iaitu haruslah bersama dengan rakyat Ukraine. Ini adalah prinsip utama,” tegas beliau.
Terdahulu, beliau menolak sebarang penyerahan wilayah, sambil menegaskan rakyat Ukraine tidak akan memberikan tanah mereka kepada penjajah.
Menurut laporan NBC News, pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk menjemput Zelenskyy menyertai pertemuan di Alaska.
Seorang pegawai White House berkata, Trump terbuka untuk mengadakan sidang kemuncak tiga hala di Alaska bersama Putin dan Zelenskyy.
Namun buat masa ini, Rumah Putih merancang pertemuan dua hala dengan Putin atas permintaan Moscow.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut menegaskan Ukraine mesti memainkan peranan dalam sebarang rundingan dalam ucapannya di platform X selepas mengadakan panggilan dengan Zelensky; Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
“Masa depan Ukraine tidak boleh diputuskan tanpa rakyat Ukraine, yang sudah berjuang demi kebebasan dan keselamatan mereka selama lebih tiga tahun.
“Negara-negara Eropah juga pasti akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian kerana keselamatan mereka turut menjadi taruhan,” katanya.
Mahu langkah lebih adil
Sejak lawatan Witkoff ke Moscow pada Rabu yang digambarkan sebagai ‘kemajuan besar’ oleh Trump, Zelenskyy giat mengadakan panggilan dengan sekutu Ukraine.
“Langkah-langkah yang jelas diperlukan, serta koordinasi maksimum antara kami dan rakan-rakan kongsi,” tulis Zelenskyy di laman X pada Sabtu.
Selepas rundingan di Britain, wartawan Axios, Barak Ravid memetik seorang pegawai AS berkata, mesyuarat selama berjam-jam itu menghasilkan kemajuan ketara ke arah matlamat Trump untuk menamatkan perang di Ukraine.
Namun Ukraine dan Kesatuan Eropah (EU) menolak cadangan yang mereka anggap terlalu menguntungkan Putin, yang melancarkan pencerobohan pada Februari 2022 dengan alasan kononnya keselamatan Russia terancam akibat haluan pro-Barat Ukraine.
Bagi Kyiv dan sekutunya, pencerobohan itu adalah cubaan rampasan tanah secara imperialis.
Felo Kanan Carnegie Russia Eurasia Center, Tatiana Stanovaya menyifatkan usaha damai kali ini sebagai percubaan pertama yang agak realistik untuk menghentikan perang.
“Namun, saya kekal amat skeptikal tentang pelaksanaan perjanjian itu, walaupun gencatan senjata dicapai buat sementara waktu. Hampir tiada keraguan komitmen baharu ini boleh membawa kesan buruk kepada Ukraine,” katanya.
Rakyat Ukraine pula tetap berpendirian tegas.
“Tidak seorang pun anggota tentera akan bersetuju untuk menyerahkan wilayah dan berundur dari tanah Ukraine,” kata Olesia Petritska, 51, kepada Reuters sambil menunjuk kepada ratusan bendera kecil Ukraine di dataran utama Kyiv yang memperingati askar-askar yang gugur.










