KUALA LUMPUR: Golongan wanita dan belia digalak menceburi industri herba yang mempunyai banyak potensi untuk menjana pendapatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, industri herba telah dikenal pasti sebagai satu daripada industri yang mempunyai potensi masa hadapan, bernilai RM32 bilion pada 2019.
Katanya, negara mempunyai banyak produk herba dan memerlukan cara atau mekanisme untuk mendapatkan rakan kongsi strategik dengan mana-mana negara luar yang tidak mempunyai sumber itu.
“Dari segi tanaman, mereka tidak ada tetapi ada teknologi. Maka teknologi ini diperlukan untuk mengembangkan lagi ekonomi negara, selain mengadakan pameran dan latihan kepada rakyat untuk lebih berminat dengan tanaman herba.
“Sebagai contoh, pada masa ini, seramai 1,431 wanita telah dilatih sebagai penjaga selepas bersalin di bawah program MamaCare Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan 54,271 wanita telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu.
“Bukanlah satu langkah sukar untuk melatih wanita ini memulakan rangkaian produk herba mereka sendiri. Pembinaan kapasiti dan pemindahan pengetahuan adalah satu kemestian dalam industri kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2023 di Royale Chulan Kuala Lumpur, Jalan Conlay di sini.
Sementara itu, Pengasas dan Penganjur Herbal Asia, Safina Yaakob berkata, pihaknya menyasarkan pameran dari 25 hingga 28 Julai itu dapat menjana transaksi jualan kira-kira RM3 juta.
“Terdapat 35 gerai pameran dan 40 peserta terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat dalam serta luar negara.
“Kami menjangkakan selepas Covid-19 ini akan ada peningkatan tempahan secara pukal dan bukan secara pengguna sahaja. Ini perlu supaya ada rantaian pertanian kontrak pada masa depan,” ujarnya. – UTUSAN










