PUTRAJAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) merancang untuk memperluas Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di lebih banyak stesen Petronas pada masa depan.
Pengarah Urusannya, Azrul Osman Rani berkata, program itu menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai selepas dilancarkan di tiga stesen Petronas sejak dua minggu lalu.
Beliau berkata, sejak dua minggu lalu, tiga stesen berkenaan iaitu stesen Petronas Subang Bestari, Kota Kemuning 1 dan Putrajaya 1 berjaya mengumpul 11.5 tan minyak masak terpakai.
“Program ini (pengumpulan minyak masak terpakai) bukan baharu tapi ia inisiatif yang sangat menggalakkan bagi menarik lebih ramai rakyat untuk kitar semula selain mendapat pendapatan sampingan.
“Kajian mendapati, sekitar 95 peratus isi rumah di negara ini tidak mengamalkan kitar semula minyak masak terpakai. Justeru, kami mahu menggalakkan isi rumah untuk turut serta,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program pengumpulan minyak masak terpakai di sini, hari ini.
Kata Azrul, pihaknya juga mahu rakyat tahu bahawa minyak masak terpakai amat berharga dan mereka akan dibayar RM3 bagi sekilogram.
Menurutnya, selain menggalakkan kelestarian alam sekitar, minyak masak terpakai juga boleh diproses dan dikomersialkan menjadi Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).
“Program pengumpulan minyak masak terpakai ini juga merupakan langkah proaktif Petronas bagi memenuhi tuntutan Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).
“CORSIA adalah skim antarabangsa yang dibangunkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) dengan tujuan mengurangkan jejak karbon dan memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon bagi sektor penerbangan antarabangsa,” katanya.
Katanya, serentak dengan itu, Petronas dalam usaha untuk membangunkan loji penapisan bio untuk menghasilkan biobahan api SAF yang akan dibina di Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Johor.
Jelasnya lagi, loji penapisan bio itu akan mula dibangunkan pada 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 selain mampu memproses kapasiti 650,000 metrik tan minyak setahun.
Penjualan minyak masak terpakai di stesen Petronas akan memberi sedikit pulangan kepada penjual dan hasil jualan akan dikreditkan dalam akaun aplikasi Setel dan boleh ditebus untuk mengisi minyak atau membeli barangan di Kedai Mesra. – UTUSAN










