Perdagangan borong, runcit pada Mei tumbuh 6.6 peratus

Perdagangan borong, runcit pada Mei tumbuh 6.6 peratus kepada RM138 bilion – DOSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM138.0 bilion, tumbuh 6.6 peratus tahun ke tahun pada Mei lalu, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, peningkatan disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 22.0 peratus atau RM3.1 bilion.

Jelasnya, perdagangan runcit juga berkembang 5.0 peratus atau RM2.8 bilion kepada RM58.8 bilion, diikuti perdagangan borong yang meningkat 4.4 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM62.2 bilion.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.5 peratus disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong, masing-masing 16.2 peatus dan 2.1 peratus,” katanya dalam laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Mei 2023, semalam.

Bagi prestasi mengikut subsektor, DOSM memberitahu, pertumbuhan dua digit (22.0 peratus) dalam kenderaan bermotor didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 29.8 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM8.9 bilion.

Ia diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan serta pembaikan kenderaan bermotor yang masing-masing naik 17.7 peratus dan 20.4 peratus.

Walau bagaimanapun jelasnya, jualan, penyelenggaran dan pembaikan motosikal turun 5.0 peratus. Bagi perbandingan bulanan, subsektor itu melonjak sebanyak 16.2 peratus disumbangkan oleh semua kumpulan dalam subsektor berkenaan terutama jualan kenderaan bermotor sebanyak 30.8 peratus.

Mengenai subsektor perdagangan runcit pula, DOSM berkata, kenaikan 5.0 peratus pada Mei 2023 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang bertumbuh 8.4 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM22.5 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor itu turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan sebanyak 6.0 peratus, jualan runcit makanan, minuman & tembakau (10.0 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (6.0 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (2.5 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (6.0 peratus).

“Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor berkenaan menurun 2.7 peratus dengan hampir semua kumpulan mencatatkan pertumbuhan negatif,” jelasnya.

DOSM turut memaklumkan bahawa peningkatan 4.4 peratus dalam subsektor perdagangan borong disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau yang meningkat RM1.1 bilion atau 9.6 peratus kepada RM12.3 bilion.

Ia diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah sebanyak 7.9 peratus, jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (8.6 peratus), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (5.8 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (11.6 peratus) dan jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (7.3 peratus).

Bagi indeks volum, perdagangan borong & runcit pada Mei 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.6 peratus, disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (17.8 peratus), perdagangan borong (5.3 peratus) dan perdagangan runcit (2.4 peratus). Bagaimanapun, bagi indeks volum pelarasan musim, ia merosot 4.1 peratus bulan ke bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya