PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2023 meningkat 6.8 peratus kepada 25,062 tan metrik daripada 23,460 tan metrik bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, pengeluaran itu meningkat 20.2 peratus tahun ke tahun berbanding 20,857 tan metrik pada Mei 2022.
Jelasnya, pengeluaran disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 86.3 peratus dan bakinya, sektor estet sebanyak 13.7 peratus.
“Jumlah stok getah asli pada Mei 2023 menurun 11.4 peratus kepada 172,263 tan metrik berbanding 194,464 tan metrik pada April 2023. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 37,062 tan metrik pada Mei 2023 menurun 1.8 peratus berbanding April 2023 sebanyak 37,728 tan metrik.
China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu berjumlah 41.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, diikuti Jerman (16.3 peratus), Pakistan (3.7 peratus), Türkiye (2.9 peratus) dan Portugal (1.6 peratus).
Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.0 billion pada Mei 2023, meningkat 28.6 peratus berbanding April 2023 (RM0.8 billion),” jelas DOSM.
Menurut Jabatan Perangkaan, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 1.3 peratus (Mei 2023: 488.76 sen sekilogram; April 2023: 495.00 sen sekilogram), manakala Sekerap meningkat 2.8 peratus (Mei 2023: 478.02 sen sekilogram; April 2023: 465.21 sen sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula adalah dalam keadaan bercampur iaitu menurun 1.2 peratus serta meningkat 2.2 peratus, jelasnya.
Katanya, Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 0.6 peratus (daripada AS$1.36/kilogram (kg) kepada USD1.35/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 1.0 peratus (daripada AS$1.54/kg kepada AS$1.56/kg).
“Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Mei 2023, sentimen positif pasaran getah Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor termasuk perkembangan positif rundingan hutang siling AS, penurunan pengeluaran getah asli tempatan akibat fenomena gelombang haba dan nilai ringgit yang lemah berbanding dollar AS,” tambah DOSM. – UTUSAN










