Peluang menang geran pelaburan Khazanah RM500,000

Peluang menang geran pelaburan Khazanah RM500,000

AMIRUL FEISAL WAN ZAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pemula agrimakanan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berpeluang mendapat geran dan potensi pelaburan sehingga RM500,000 daripada Khanazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan rakan-rakan pendanaannya, melalui Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023.

Permohonan untuk cabaran itu dibuka hari ini sehingga 4 September 2023.

Bertemakan “Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia,” KIIC adalah cabaran perniagaan yang sejajar dengan objektif penciptaan nilai Dana Impak Khazanah.

“KIIC 2023 kini membuka permohonan daripada perniagaan Malaysia yang berimpak tinggi berpenyelesaian yang inovatif dan berdaya maju secara komersial untuk menangani cabaran perubahan iklim terhadap keterjaminan makanan di Malaysia.

“Tema cabaran tahun ini mewakili kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan iklim dan potensi ancaman terhadap keterjaminan makanan. Perubahan iklim menimbulkan ancaman yang nyata terhadap sektor agrimakanan seluruh dunia.

“Kemarau yang berpanjangan, gelombang haba, hujan lebat dan banjir telah menjejaskan pengeluaran makanan merentasi benua, mengakibatkan penurunan hasil tanaman dan kemusnahan terhadap ternakan dan stok makanan,” kata Khazanah dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Dana Impak berasa sukacita kerana dapat mempertemukan para pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk meneroka peluang kerjasama dan memanfaatkan kepelbagaian bakat dan kepakaran di kalangan syarikat pemula Malaysia dan PMKS dalam sektor agrimakanan.

“Oleh kerana perubahan iklim kian mengancam keterjaminan makanan negara, usaha ini diharap dapat menawarkan sokongan yang diperlukan dan sebuah platform berjangkauan luas bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian yang inovatif dan mampan, sejajar dengan strategi jangka panjang kami iaitu Memajukan Malaysia,” katanya.

Menurut Khazanah, KIIC 2023 dianjurkan bersama dengan rakan kongsi, Plug and Play, rakan-rakan jangkauan Impact Circle dan MYStartup oleh Cradle Fund, dan rakan-rakan kongsi pendanaan Gobi Partners, 500 Global dan Agrobank.

Jelasnya, cabaran KIIC 2023 untuk mencari penyelesaian inovatif seperti sumber makanan haiwan alternatif, baja alternatif, teknologi perladangan, pembiayaan, dan penyelesaian rantaian bekalan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam industri agrimakanan.

“(Seramai) 10 finalis KIIC akan menerima sehingga RM500,000 setiap satu dalam bentuk geran dan berpeluang mengemukakan cadangan (pitch) bagi menarik potensi pelaburan ekuiti daripada Khazanah dan rakan-rakan pendanaannya,” katanya.

Pertandingan terbuka kepada semua entiti perniagaan yang berpangkalan di Malaysia. Setiap permohonan akan dinilai dengan teliti dan hanya pemohon yang berjaya akan dipilih untuk menyertai KIIC 2023. Pemohon yang disenarai pendek akan menerima jemputan untuk Hari Demo dan finalis akan diumumkan pada Oktober 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN