OPR naik sebabkan tanggungan rakyat meningkat

OPR naik sebabkan tanggungan rakyat meningkat

PASARAN hartanah negara dijangka lebih stabil tahun ini dan pertumbuhan sektor tersebut bukan hanya dilihat daripada peningkatan volum semata-mata. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, sekarang bukan masa yang sesuai untuk meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Penganalisis Ekonomi INCEIF University , Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, peningkatan OPR sebelum ini telah memberikan kesan yang besar kepada kadar pinjaman dan pembiayaan.

Kata beliau, apa yang lebih penting sekarang adalah kos sara hidup rakyat termasuk komitmen mereka membayar pinjaman dan pembiayaan.

“Sebarang peningkatan dalam OPR akan menyebabkan tanggungan mereka meningkat. Lagipun, Pilihan Raya Negeri (PRN) terlalu hampir, jadi saya tidak melihat kerajaan akan mengambil risiko tinggi dengan meningkatkan OPR buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual akan mengumumkan kadar baharu OPR sama ada kekal atau naik, pada Khamis ini.

Pada mesyuarat MPC kali ketiga Mei lalu, BNM telah membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus.

Ia diputuskan setelah BNM mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut dicatatkan sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November 2022. Paras terendah OPR adalah 1.75 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial di Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd. Afzanizam Abdul Rashid turut melihat OPR sepatutnya dikekalkan pada paras 3.0 peratus.

“Perkara ini berikutan situasi ekonomi global yang dilihat memperlahan serta kadar inflasi yang kian merosot.

“Terbaharu, kadar inflasi negara telah pun mencapai 2.8 pe­ra­tus pada Mei dan ini telah membawa kadar faedah benar yang positif iaitu 0.2 peratus setelah mencatatkan bacaan negatif untuk beberapa tempoh yang lalu.

“Perkara ini menunjukkan dasar monetari yang telah pun ketat atau menyekat (restrictive),” katanya.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, mesyuarat MPC keempat pada minggu ini bukanlah masa yang sesuai untuk menaikkan OPR kerana ia tidak akan membawa kesan positif.

“Ini kerana aliran keluar wang disebabkan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) sudah melebihi 5.0 peratus dan kita baru sahaja pada 3.0 peratus.

“Untuk menandingi AS memang mustahil, jadi lebih baik simpan dahulu ‘senjata’ itu dengan menangguhkan sebarang kenaikan kadar faedah,” katanya.

Jelas Barjoyai, OPR tahun ini berkemungkinan boleh mence­cah 3.25 peratus bergantung kepada situasi dalam pasaran semasa.

“Namun, buat masa ini BNM perlu tangguhkan dahulu sebarang kenaikan. Kalau OPR dinaik­kan sekarang, kesannya akan membebankan pengguna dan peniaga. Ini mungkin akan beri kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” ujarnya.

Pakar ekonomi kanan ASEAN di OCBC Treasury Research, Lavanya Venkateswaran turut menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar OPR sedia ada disebabkan momentum pertumbuhan yang perlahan dan mengurangkan tekanan inflasi.

“Pandangan kami didasarkan pada data masuk aktiviti yang lebih lemah sejak 3 Mei, me­nunjukkan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan pada suku kedua 2023, di samping meredakan tekanan inflasi,” katanya dalam nota kajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN