PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. menganjurkan Kejohanan Cabaran Boling Northport 2023 bagi meraikan pelanggannya sempena ulang tahun ke-60 operasinya.
Northport dalam satu kenyataan media berkata, penganjuran kejohanan yang memasuki edisi ke-15 itu disertai 45 pasukan yang merupakan pelanggan daripada pelbagai segmen perniagaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof menyifatkan penganjuran kejohanan boling kali ini merupakan amat istimewa memandangkan syarikat berkenaan merasikan ulang tahun ke-60 operasi Pelabuhan Utara pada tahun ini.
Ujar beliau, sebagai pengendali pelabuhan, pihaknya amat berbangga dapat memupuk hubungan yang berterusan dengan pelanggan kami melalui aktiviti-aktiviti kesukanan.
“Kejohanan ini merupakan platform bagi kami mengukuhkan hubungan antara Northport dan para pelanggan kami di samping memupuk rasa hormat menghormati dan saling menghargai.
“Acara tersebut juga adalah bagi meraikan kepercayaan, kerjasama baik dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada para pelanggan yang telah menjadi pendorong di sebalik kejayaan Northport,” katanya.
Sementara itu, Proton Holdings Berhad muncul sebagai juara bagi kategori berpasukan, manakala Wan Hai Lines (M) Sdn. Bhd. serta Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd., masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Kemenangan Proton cukup bermakna setelah mereka berjaya mempertahankan kejuaraan dari tahun sebelumnya dan mengukuhkan penguasaan mereka dalam kejohanan tahunan ini.
Bagi kategori individu pula dimenangi oleh Dolkeple Salikin dari NS BlueScope Malaysia Sdn. Bhd. bagi kategori lelaki, manakala Norita Jaafar dari Proton Holdings Berhad berjaya menjatuhkan jumlah jatuhan pin tertinggi untuk menjuarai kategori wanita. – UTUSAN