PETALING JAYA: MYAirline merancang untuk memasuki pasaran awam dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo kepada Nikkei Asia.
Beliau berkata, walaupun Tawaran Awam Permulaan (IPO) dalam tempoh masa itu adalah sesuatu yang sukar, beliau yakin syarikat yang memulakan operasi pada November tahun lepas itu mempunyai sumber pengurusan untuk melaksanakannya.
“Saya telah diberikan sasaran yang agresif, tetapi saya menjangkakan bahawa kami sepatutnya mempunyai keupayaan tersebut dalam tiga tahun.
“Dari hari pertama, kami sudah mengambil kira rancangan masa depan. Kami juga bersedia untuk menangani proses penyenaraian yang sangat ketat oleh Bursa Malaysia,” ,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Usahawan Malaysia, Goh Hwan Hua ialah pemegang saham utama MYAirline melalui dua entiti swasta, Zillion Wealth dan Trillion Cove Holdings, yang masing-masing memiliki 88 peratus dan 10 peratus saham manakala 10 peratus saham lagi dimiliki oleh Rayner.
Pada separuh pertama 2023, sebanyak 16 syarikat telah diumumkan di Bursa Malaysia.
Bursa saham berharap untuk melihat sebanyak 39 IPO untuk tahun ini, yang akan mengatasi 35 IPO tahun lepas.
Kini beroperasi pada lapan pesawat Airbus A320 yang dipajak, MYAirline menyasarkan 22 pesawat operasi menjelang akhir 2023.
Rayner juga berkata, syarikat penerbangan itu akan menempah pesawat baharu tahun ini dan telah bekerjasama dengan Airbus dan Boeing untuk sekurang-kurangnya 100 pesawat.
Sehingga Jun 2023, MYAirline telah menerbangkan lebih daripada satu juta penumpang dan berharap untuk mencapai paras dua juta pada awal tahun depan.
Kemunculan sulung syarikat penerbangan itu berlaku ketika Malaysia dan negara lain menghapuskan sekatan pergerakan dan sempadan selepas wabak Covid-19 mereda.
Rayner menegaskan bahawa pasaran tidak tepu, memandangkan jumlah penduduk Asia Tenggara melebihi 600 juta orang.
“Apabila anda memulakan operasi syarikat penerbangan, walaupun ia berada di Malaysia, anda tidak akan menyasarkan rakyat Malaysia sahaja untuk menaiki pesawat anda. Saluran pengedarannya sangat besar. Anda akan menyasarkan seluruh wilayah,” katanya.
MYAirline mula berkembang di Asia Tenggara pada separuh kedua tahun ini sebagai sebahagian daripada pengembangan fasa dua yang memfokuskan pada Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Bermula pada akhir Jun, MYAirline telah terbang setiap hari ke Bangkok, dengan perkhidmatan ke lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Mueng.
Bangkok merupakan destinasi pertama yang semula jadi, kata Rayner, memetik kematangannya sebagai pasaran dan permintaan yang kukuh.
Tambah beliau, MYAirline turut merancang untuk menembusi rantau Asia Timur menjelang awal 2024.
“Kami juga berada di landasan yang betul dengan rancangan untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih sendiri, serta perkhidmatan kargo dengan kerjasama syarikat tempatan MYFreight.
“Penerbangan domestik juga akan mula membawa muatan mulai bulan ini, manakala penerbangan antarabangsa akan menyusul dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN










