Cubaan pihak tertentu guna `pimpinan tertinggi’ beli Pharmaniaga 

Mohamad dedah cubaan pihak tertentu guna `pimpinan tertinggi’ beli murah Pharmaniaga 

PHARMANIAGA kini memperoleh bahan farmaseutikal aktif untuk menghasilkan antibiotik bagi merawat pebagai jangkitan kuman. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan, terdapat pihak tertentu menggunakan `pimpinan tertinggi’ bagi membeli syarikat farmaseutikal tempatan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).

Pharmaniaga merupakan anak syarikat milik Boustead Holdings Berhad (BHB), milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ahli Parlimen Rembau itu ketika berucap berkata, pihak berkenaan menawarkan untuk membeli Pharmaniaga pada harga rendah, namun beliau bertegas menolak permintaan tersebut.

Mohamad mendedahkan, beliau terpaksa bertengkar dalam mesyuarat bersama Jemaah Menteri bagi memastikan anak syarikat milik BHB itu tidak jatuh ke tangan pihak lain.

“Kementerian Pertahanan beri berbilion-bilion perniagaan, uruskanlah baik-baik, saya bertengkar dalam Kabinet, hampir sahaja Pharmaniaga hilang konsesinya.

“Bukan senang, sampai ada buat bidaan melalui pemimpin tertinggi untuk beli syarikat kita dan nak beli murah-murah.

“Saya cakap tidak, dan langkah mayat saya dahulu. Biar kita sama-sama uruskan syarikat dan saya yakin kita boleh bangunkan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2023-2025 di sini, hari ini.

Februari lalu, Bursa Malaysia Securities Berhad mengumumkan, Pharmaniaga telah mencetuskan kriteria menurut Perenggan 2.1(a) Nota Amalan No. 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

Bursa Securities dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus memantau kemajuan Pharmaniaga berkenaan dengan pematuhannya dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

Semalam, Pharmaniaga melalui anak syarikatnya, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB) memperoleh kontrak baharu daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan perkhidmatan logistik bekalan perubatan selama tujuh tahun.

Syarikat farmaseutikal itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, kontrak berkenaan bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2030.

“Susulan surat itu dikeluarkan, tempoh interim yang bermula pada 1 Disember 2019 untuk menyediakan perkhidmatan penyediaan ubat-ubatan dan bekalan perubatan telah tamat.

“Sementara KKM dan PLSB memuktamadkan syarat perjanjian perkhidmatan logistik bekalan perubatan baharu, PLSB akan terus menyokong dan memberikan perkhidmatannya kepada KKM berdasarkan terma penting yang dipersetujui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN