PETALING JAYA: MCIS Insurance Berhad (MCIS Life) akan menyalurkan sebanyak RM 1 juta untuk tujuan penanaman 5,000 pokok hutan hujan endemik dalam lokaliti tapak kelestarian perintisnya dikenali sebagai MCIS Life Legacy Forest di Sireh Park, Iskandar Puteri, Johor.
Penambahan baharu ini akan meningkatkan jumlah spesies pokok hutan hujan endemik di tapak kepada lebih daripada 45 jenis. Sebelum ini, syarikat telah menanam 1,280 anak pokok selepas projek tersebut diumumkan pada 2019.
Pengerusi MCIS Life, Mohammad Nizar Idris berkata, ia adalah sumbangan proaktif kami ke arah pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, selepas pemantauan rapi terhadap kesan projek perintis selama tiga tahun.
“Secara asasnya, kami menyumbang untuk masa hadapan kerana mengambil tindakan bersepadu dalam usaha menentangi kesan pemanasan global adalah tanggungjawab bersama, dan kami menerajui jalan ini untuk membendung kehilangan biodiversiti melalui penanaman pokok hutan hujan endemik yang terpilih kerana ia dapat membantu dalam pengimbangan karbon,” katanya selepas merasmikan papan tanda MCIS Life Legacy Forest di Sireh Park.
Inisiatif penanaman pokok hutan hujan endemik MCIS Life adalah antara pelan tindakan insurans hayat itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya SDG 13 yang memfokuskan Tindakan Memerangi Perubahan Iklim.
MCIS Life telah melibatkan pihak berkepentingan yang melingkungi para pekerja, rakan pengedaran, pelanggan, dan komuniti tempatan termasuk pelajar sekolah, dalam usahanya untuk meningkatkankan kesedaran terhadap ancaman pemanasan global dan perubahan iklim.
5,000 anak pokok baharu yang sedang ditanam secara berperingkat akan selesai menjelang Ogos 2023. Ditambah dengan 1,280 pokok sedia ada di lokasi tersebut, dijangka kira-kira 567 tan karbon dapat diimbangkan secara kolektif menjelang 2029 apabila pokok-pokok itu matang seiring dengan masa.
Inisiatif penanaman pokok terbaharu ini merupakan kerjasama strategik antara MCIS Life dan The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memiliki dan mengendalikan Sireh Park, sebuah taman warisan semula jadi mampan bertaraf dunia yang memfokuskan pada pemuliharaan, pendokumentasian dan pempromosian biodiversiti tumbuhan yang wujud secara semula jadi di kawasan itu, jelas syarikat tersebut. – UTUSAN










