Malaysia diiktiraf negara terbaik Indeks Peralihan Tenaga

Malaysia diiktiraf negara terbaik Indeks Peralihan Tenaga

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia diiktiraf negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.

Indeks tersebut mengambil kira prestasi sistem dan kesediaan negara untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih mesra alam.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pencapaian itu menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan tepat bagi pengurusan peralihan tenaga yang pantas, selamat dan berpatutan.

Selain itu katanya, Malaysia juga mempunyai pelbagai kele­bihan strategik seperti lokasi stra­tegik, sumber tenaga boleh baharu (TBB) pelbagai dan tahap kemahiran tinggi untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang peralihan tenaga.

“Malaysia dijangka mampu meraih peluang untuk menarik pelaburan global dalam sektor teknologi bersih yang mencecah RM 5 trilion pada 2022 dan nilai ini dijangka terus meningkat pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rafizi, Kementerian Ekonomi akan meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 semasa program Invest Malaysia KL 2023 Special Series anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA dan Maybank di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur pada 27 Julai ini.

Jelasnya, ia merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara dengan mengumumkan pelaksanaan 10 projek rintis perdana.

Ia dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion, pewujudan 23,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta pengura­ngan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram setahun secara kumulatif.

Beliau berkata, NETR adalah tindakan tuntas susulan pembaharuan dasar semasa berkaitan TBB oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Ia khususnya dalam peningkatan sasaran baharu kapasiti terpasang TBB daripada 40 peratus pada 2035 kepada 70 peratus menjelang 2050.

“Sasaran lebih tinggi dijangka dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu selain menarik syarikat multinasional, khusus­nya RE100 untuk beroperasi di Malaysia.

“Sejumlah RM637 bilion pe­laburan diperlukan bagi pening­katan TBB sehingga 2050 me­rang­kumi sumber penjanaan TBB, pengukuhan infrastruktur grid termasuk sambung tara, integrasi sistem penstoran tenaga dan kos operasi sistem rangkaian grid,” katanya.

Pada masa sama, kementerian itu berharap NETR dapat memandu agenda strategik untuk mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi dan meran­cakkan penyertaan pelaburan dalam dan luar negara.

Ini termasuk menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara dan menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam industri tenaga bersih dalam jangka masa panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN