LTAT sasar aset di bawah pengurusan RM15 bilion

LTAT sasar aset di bawah pengurusan RM15 bilion

MOHAMAD Hasan diiringi Nazim Rahman, melihat galeri pencapaian LTAT dan Pelan Strategik LTAT yang dipamerkan pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2023 - 2025 (MAMPAN25) di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Lembaga Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) 2023-2025 akan memberi tumpuan meningkatkan prestasi pelaburan melalui peningkatan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM15 bilion daripada RM9.3 bilion.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, pelan dikenali sebagai MAMPAN25 yang dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini, merupakan pencetus perubahan utama dalam penyusunan dan penyenaraian semula Boustead Holdings Berhad (BHB).

Menurut Nazim, MAMPAN25 menandakan hala tuju baharu bagi LTAT seiring dengan kejayaan pelaksanaan Pelan Transformasi LTAT 2019-2023, ke arah mencapai visi dan misi baharunya iaitu menjadi kumpulan wang simpanan yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi pencarumnya.

“Untuk itu, strategi yang akan kita laksanakan bertujuan menganjak LTAT daripada sebuah dana pelaburan kepada dana persaraan, daripada sebuah dana yang beroperasi hanya dengan aset cair sebanyak 30 peratus kepada paling kurang 60 peratus.

“Dengan matlamat ini, LTAT akan lebih anjal, lebih mampan dalam melaksanakan mandatnya sebagai kumpulan wang yang menguruskan simpanan persaraan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian MAMPAN2 di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelan strategik LTAT itu dirangka untuk memberi hala tuju yang jelas, difahami oleh semua pihak berkepentingan serta dilaksana oleh warga LTAT dan Kumpulan Boustead.

Ujar beliau, MAMPAN25 mengandungi lima elemen utama iaitu pernyataan visi dan misi yang baharu, sasaran dividen tahunan pada kadar minimum lima peratus kepada pencarum, empat teras sebagai bidang tumpuan utama dan pelan tindakan yang mengandungi 10 sasaran, 11 strategi utama dan satu ‘Game Changer’ bagi memacu LTAT ke fasa seterusnya.

Katanya, empat teras yang ditetapkan sebagai bidang tumpuan utama yang perlu dilaksanakan oleh LTAT bagi tempoh tiga tahun akan datang merupakan pertumbuhan (growth), ketahanan (resilience), impak (impact) dan kepercayaan (trust), yang merangkumi ciri-ciri kekuatan menyeluruh tabung persaraan anggota tentera itu.

“Empat teras ini akan bertindak sebagai prinsip panduan untuk LTAT mencapai visi dan misi baharu terbabit dan sekiranya digabungkan akan membentuk akronim GRIT iaitu pertumbuhan (growth), ketahanan (resilience), impak (impact) dan kepercayaan (trust),” katanya.

Beliau berkata kejayaan pengambilalihan dan seterusnya penswastaan BHB sebelum ini turut membolehkan pelan strategik itu menggariskan satu ‘Game Changer’ iaitu menyusun dan menyenaraikan semula syarikat tersebut.

“Ia juga membolehkan LTAT berubah sepenuhnya menjadi sebuah kumpulan wang simpanan yang mampan dan ‘Game Changer’ ini perlu dilaksanakan bagi membolehkan LTAT mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Antaranya adalah mendapatkan semula keseluruhan kos pelaburan dalam BHB, mengekalkan nisbah solvensi sekurang-kurangnya 100 peratus pada setiap masa, mewujudkan kepelbagaian portfolio melalui pengurangan penumpuan dalam BHB dan meningkatkan AUM kepada RM15 bilion,” katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, MAMPAN25 memberi hala tuju jelas buat LTAT bagi melangkah ke hadapan dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Jelas beliau antaranya dari segi cabaran ekonomi, melindungi kebajikan sosial para pencarumnya sekaligus menjadi pemangkin kepada transformasi untuk menjadi sebuah kumpulan wang simpanan yang mampan.

“Saya mengalu-alukan hasrat LTAT untuk mengembangkan dananya kerana ini juga akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, selaras dengan aspirasi kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN