Jumlah pelabur asing dijangka meningkat 

Jumlah pelabur asing dijangka meningkat 

ABDUL WAHID OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing dijangka kembali ke pasaran saham tempatan dengan jumlah pegangan dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata,  jumlah pegangan asing dalam pasaran ekuiti tempatan kini adalah sebanyak 20 peratus, meningkat berbanding beberapa bulan sebelumnya.

“Jumlah itu dijangka akan terus melonjak berdasarkan trend semasa pasaran saham global di mana aliran pelaburan asing telah kembali semula ke pasaran baru muncul.

“Hala tuju ekonomi yang lebih jelas melalui kerangka dasar Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama juga mendorong pelabur asing untuk melabur ke dalam negara.

“Pasaran ketika ini juga menarik bukan saja kepada pelabur asing tetapi pelabur domestik.

“Malah, naratif ekonomi yang lebih jelas oleh kerajaan juga akan menjadi faktor utama kepada pengukuhan pasaran ekuiti tempatan,” katanya selepas Taklimat Media Keputusan Kewangan Separuh Pertama 2023 Bursa Malaysia di sini.

Katanya, dasar ekonomi yang lebih jelas juga bukan saja akan menjadi faktor pengukuhan pasaran ekuiti tempatan tetapi turut memberikan suntikan baru kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) serta ringgit.

Beliau berkata, secara keseluruhan, semua itu akan meningkat bersama-sama sekali gus menjadikan Malaysia kekal sebagai pasaran yang menarik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Bursa Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk mencatatkan 39 tawaran awam permulaan (IPO) dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM10 bilion pada tahun ini.

Ujarnya, pada separuh kedua 2023, pengendali bursa itu dijangka menerima tujuh penyenaraian baharu di Pasaran Utama, satu atau dua dalam Pasaran LEAP dan kira-kira 14 penyenaraian di Pasaran ACE, daripada pelbagai sektor termasuk hartanah, runcit sukan dan elektronik.

“Kami mungkin melepasi angka kami, didorong oleh penganjur dan sentimen pasaran.

“Sebahagiannya mungkin bergerak dengan lebih cepat dan sebahagiannya mungkin mengambil masa. Bagaimanapun, kami berada pada sasaran untuk 39 pada masa ini.

“Terdapat kira-kira 23 syarikat sedang melalui proses itu, sebagai tambahan kepada apa yang telah diluluskan, dan melalui proses membuat penyerahan,” katanya.

Pada separuh pertama tahun ini, sejumlah 16 penyenaraian IPO baharu telah dicatatkan, mengumpul dana baharu sebanyak RM6.4 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN