PETALING JAYA: Jenayah kewangan mampu diatasi dengan penyelesaian yang inovatif, menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Maszunisham Omar.
Beliau merujuk kepada prototaip yang dibangunkan oleh para pemenang pertandingan Anti-Money Laundering/Counter Financing of Terrorism (AML/CFT) Hackathon 2023 anjuran Bank Pusat itu.
Katanya, tugas penting seterusnya adalah untuk menukar prototaip yang dibangunkan kepada alat digital sebenar.
“Saya menyeru institusi kewangan dan badan pengawal selia serta agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meneroka kesemua alat digital ini agar kita dapat memerangi jenayah kewangan bersama-sama dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut BNM, pertandingan yang dilancarkan pada April itu telah menarik penyertaan lebih 660 peserta daripada 140 pasukan, mewakili lebih 20 negara di rantau Asia-Pasifik.
Para peserta terdiri daripada badan pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan, entiti swasta dan pelajar universiti telah bersaing untuk mencipta prototaip alat digital yang inovatif bagi memerangi jenayah kewangan.
Sepanjang Hackathon berlangsung, bengkel-bengkel dan sesi bimbingan (mentoring) telah diadakan oleh 30 pakar teknologi dan AML/CFT untuk membimbing, mempersiap dan memberi semangat kepada para peserta.
“Prototaip yang dipilih menjadi pemenang menyerlah dari aspek kreativiti,” menurut BNM.
Jelasnya, Verifier FIX yang dibangunkan oleh kumpulan Verifier dari Australia muncul johan sekor awam. Ia merupakan platform yang membolehkan bank-bank berkongsi maklumat berkaitan tahap risiko jenayah kewangan dalam kalangan pelanggan dan pada masa yang sama memelihara privasi.
Sementara itu, OmniQuest yang dibangunkan oleh kumpulan RMATES dari Malaysia menjuarai sektor swasta, memerhati corak dan anomali daripada jejak digital peranti mudah alih bagi mengesan aktiviti mencurigakan, seperti transaksi yang dibuat pada masa dan lokasi yang luar dari kebiasaan, dalam masa nyata.
SentinelGuard yang dibangunkan oleh kumpulan KoderX dari Singapura dan muncul johan kategori terbuka pula, bertujuan untuk mengurangkan serangan perisian hasad (malware) serta penyamaran identiti menerusi penyelarasan komunikasi antara bank dengan pengguna secara memanfaatkan platform mekanisme penyulitan keseluruhan (end-to-end encryption).
BNM berkata, para hakim terdiri daripada pakar industri dari Malaysia, Australia, Indonesia, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$5,000 (RM23,337.30). Mereka juga akan turut berpeluang membentangkan prototaip yang dibangunkan kepada ketua-ketua delegasi Unit Perisikan Kewangan di mesyuarat Financial Intelligence Consultative Group (FICG1) yang akan diadakan bulan ini. – UTUSAN










