PETALING JAYA: Inflasi Malaysia pada Jun mereda kepada 2.4 peratus, terendah dalam enam bulan pertama 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.4 berbanding 127.4 bulan sama tahun lalu, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan inflasi didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan Restoran & Hotel sebanyak 5.4 peratus (Mei: 6.7%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol 4.7 peratus (Mei: 5.9%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah 2.3 peratus (Mei: 2.7%).
Selain itu, katanya, kenaikan inflasi turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.6%); Kesihatan (2.0%) dan Pendidikan (1.9%).
“Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan pula masing-masing meningkat 1.8 peratus dan 1.6 peratus. Ini dikuti oleh Minuman Alkohol & Tembakau (0.6%) dan Pakaian & Kasut (0.1%),” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd. Uzir, kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Jun yang telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.7 peratus (Mei: 5.9%).
Jelas beliau, komponen Makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk empat bulan berturut-turut kepada 3.2 peratus pada Jun 2023 berbanding 4.3 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya. Manakala, bagi komponen Makanan di luar rumah mereda kepada 6.8 peratus berbanding 8.1 peratus yang direkodkan pada Mei 2023.
Kenaikan komponen Makan di rumah didorong terutamanya oleh subkumpulan Susu, keju & telur (6.0%); Beras, roti & bijirin lain (5.3%); Daging (5.2%); Gula, jem, madu, coklat & manisan (3.6%); kedua-dua subkumpulan buah-buahan dan ikan & makanan laut masing-masing meningkat sebanyak 2.9 peratus dan 1.6 peratus.
Selain itu, Sayur-sayuran dan Minyak & lemak masing-masing terus menurun kepada -1.6 peratus dan -0.9 peratus.
Mohd. Uzir berkata, inflasi Pengangkutan bagi Jun 2023, kekal tidak berubah dengan subkumpulan perkhidmatan pengangkutan dan pembelian kenderaan masing-masing meningkat sebanyak 5.2 peratus dan 1.9 peratus.
“Namun begitu, penurunan inflasi subkumpulan Pengurusan alat pengangkutan persendirian sebanyak negatif 0.6 peratus, sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi kumpulan ini dari meningkat. Penurunan subkumpulan Pengurusan alat pengangkutan persendirian disumbangkan oleh penurunan kelas perbelanjaan Bahan api & pelincir untuk pengangkutan persendirian kepada negatif 3.8 peratus berbanding
negatif 2.4 peratus pada Mei 2023.
“Selain itu, penurunan harga minyak Petrol tanpa plumbum RON97 kepada negatif 29.4 peratus pada Jun 2023 (RM3.37 seliter) berbanding Jun 2022 (RM4.77 seliter) turut menyumbang kepada penurunan kelas perbelanjaan ini,” katanya.
Mohd. Uzir turut berkata, bagi inflasi di peringkat negeri, 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.4 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.2 peratus.
Walau bagaimanapun, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.0%), Pahang (2.9%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.8%), Selangor (2.7%), Perak (2.7%) dan Melaka (2.7%). – UTUSAN










