Idaman Cahaya, kediaman mampu milik serba lengkap

Idaman Cahaya, kediaman mampu milik serba lengkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan kerjasama MGB Berhad (MGB) telah melancarkan projek pangsapuri Idaman Cahaya, fasa ketiga projek Rumah Idaman MBI dengan harga bermula RM250,000 seunit.

PNSB adalah anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) manakala MGB anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS).

Idaman Cahaya dibangunkan di atas dua bidang tanah, 1.91 hektar bagi Idaman Cahaya 1 dan 3.04 hektar (Idaman Cahaya 2) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) seba­nyak RM394 juta.

Projek itu menyediakan pilihan rumah mampu milik de­ngan variasi susun atur dan harga menarik bermula RM250,000 seunit.

Setiap daripada 568 unit di Idaman Cahaya direka eksklusif bagi memenuhi keperluan pemilik rumah moden, lengkap dengan peralatan penting se­perti penyaman udara, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet te­levisyen dan pemanas air.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sentiasa komi­ted terhadap kesejahteraan penduduk dengan penyediaan rumah yang berkualiti, selesa dan lengkap dengan kemudahan penting.

“Saya yakin terhadap kejayaan Idaman Sari, Idaman Cahaya, dan pembangunan Rumah Idaman MBI yang lain, sebagai komitmen mereka untuk memenuhi keperluan perumahan individu yang bekerja dan keluarga muda di samping me­ningkatkan kualiti hidup penduduk Selangor,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pelancaran pecah tanah Idaman Cahaya, baru-baru ini.

LAKARAN artis kemudahan gelanggang permainan yang akan dibina.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Sementara itu, Raja Ahmad Shahrir berkata, pihaknya menekankan komitmen PNSB untuk terus membangunkan Rumah Idaman di lokasi penting berprospektif tinggi di Selangor, termasuk di daerah-daerah Pe­taling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“PNSB turut sama berkolaborasi dalam membina 22 buah projek lagi dengan kerjasama strategik pemaju-pemaju perumahan yang bereputasi.

“Sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telahpun siap dibina, manakala baki enam pembinaan untuk 5,596 unit di empat daerah lain sedang pesat dibangunkan,” katanya.

Projek Rumah Idaman MBI adalah inisiatif usahasama di antara MGB dan PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat PNSB, menyasarkan matlamat untuk membina 7,210 unit rumah mampu milik, dengan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN