Gabung nama beli rumah jadi pilihan

Gabung nama beli rumah jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kenaikan harga rumah mendorong go­longan B40 serta M40 menggunakan dua pe­nama dalam proses permohonan pembiayaan perumahan agar penilaian bank le­bih memihak kepada pembelian terbabit.

Laporan ‘Sorotan: Ketidakmampuan Memiliki Rumah’ terbitan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan rakyat tidak mampu untuk memiliki rumah kerana Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun bagi 2014 hingga 2020 menunjukkan peningkatan harga rumah sebanyak 4.1 peratus.

Malah, peningkatan itu lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar kenaikan pendapatan yang hanya meningkat sebanyak 2.1 peratus dan sekaligus menyebabkan akses kepada pinjaman perumahan individu terhad.

Rentetan itu, lebih ramai peminjam memilih untuk menggabungkan dua nama di dalam satu permohonan pembiayaan perumahan agar kelayakan kredit mereka meningkat dan peluang untuk diluluskan lebih cerah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Hasleen Isnin berkata, Malaysia sedang menuju ke arah trend menggabungkan pinjaman melibatkan dua penama bagi membeli kediaman.

Menurut beliau, situasi berke­naan bukan hanya berlaku di Malaysia malah juga di luar negara bagi memudahkan peminjam terutamanya mereka yang sudah berkahwin memiliki kediaman sendiri.

“Secara amnya harga rumah meningkat dan ia merupakan fenomena global jadi saya melihat kita ke arah trend menggabungkan kebolehupayaan pinjaman bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada perumahan.

“Ia adalah untuk memastikan kelayakan kredit bagi pembiayaan perumahan meningkat dan memudahkan peminjam memperoleh pinjaman membeli kediaman daripada institusi kewangan,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan menggunakan dua penama bagi membeli kediaman adalah di­sebabkan oleh kenaikan harga rumah atau tidak, Hasleen berkata, ia bergantung kepada segmen kediaman tersebut.

Menurut beliau, ia bergantung kepada jumlah pendapatan pembeli dengan harga rumah dan kebanyakannya melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan M40 berbanding T20.

Katanya, kebanyakkan pembeli yang menggabungkan dua nama adalah mereka yang membeli rumah mampu milik dan kos sederhana pada harga bawah RM500,000.

“Ia bergantung kepada segmen kerana jika kita lihat kediaman berharga di antara RM500,000 sehingga RM1 juta banyak yang dijual begitu juga rumah yang berharga lebih RM1 juta,” katanya.

Hasleen berkata, peluang yang diberikan institusi kewangan dengan membenarkan peminjam menggabungkan nama dalam urusan pembelian rumah bukan hanya membantu rakyat memperoleh kediaman sendiri malah juga menyelesaikan kemelut rumah tidak terjual yang dihadapi pemaju.

“Kaedah ini juga memastikan mana-mana rumah yang tidak terjual di pasaran dapat di jual kerana jika tidak kesan sampingannya amat besar seperti rumah terbengkalai dna pemaju tidak dapat membayar kepada bank serta kontraktor,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, pinjaman menggabungkan dua nama merupakan amalan yang telah dilakukan segelintir rakyat sebelum ini.

Menurut beliau, disebabkan kenaikan harga rumah serta jurang pendapatan kini, kaedah berkenaan makin mendapat sambutan dalam meringinkan beban pembeli serta membantu mereka memiliki kediaman lebih selesa.

“Keadah ini digunapakai untuk suami isteri atau antara bapa dan anak-anak yang bekerja bagi meningkatkan kebolehupayaan pinjaman mereka bagi memiliki kediaman.

“Kita tahu banyak individu yang memohon pinjaman perumahan ditolak bank jadi dengan menggabungkan dua nama peluang itu lebih cerah dan meningkatkan pemilikan kediaman dikalangan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, satu perjanjian kompetitif di antara bank dan kerajaan perlu diadakankan bagi memastikan lebih ramai terutamanya pasangan suami isteri yang bekerja memiliki kediaman sendiri perlu diwujudkan.

“Perjanjian ini perlu harmoni dengan mengambil kira pendapatan dan kemampuan pembeli untuk pembiayaan rumah, manakala pihak institusi kewangan pula mampu memberi pinjaman sewajarnya tanpa menekan peminjam.

“Sementara itu kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula boleh mewujudkan sebuah sistem bagi memastikan kaedah ini mampu mengurangkan rumah tidak terjual atau terbengkalai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×