PETALING JAYA: Fajarbaru Builder Group Bhd. (Fajarbaru) meraih kontrak daripada Jabatan Pertahanan Australia untuk membangunkan semula kemudahan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang.
Maklum syarikat itu, anak syarikat milik penuh Fajarbaru, Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB) dan Avionics Pty Ltd (APL) telah dianugerahkan Kontrak Utama (Antarabangsa) Dua Fasa daripada Jabatan Pertahanan Australia, untuk membangunkan semula kemudahan pajakan Australia dan kemudahan Malaysia di pangkalan berkenaan.
Bagi Fasa Perancangan projek, bahagian kontrak Fajarbaru adalah bernilai RM7.36 juta. Fasa itu bermula pada 10 Julai 2023 dan dijadualkan siap pada 13 November 2023.
“Skop projek termasuk naik taraf operasi dan rekreasi kepada turapan lapangan terbang, infrastruktur pencahayaan tanah, saliran, padang ragbi, gelanggang futsal dan infrastruktur berkaitan di pangkalan tentera,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, kontrak itu merupakan peristiwa penting bagi syarikat, menunjukkan kepakaran dan kredibiliti syarikat dalam industri pembinaan.
“Ia mengesahkan kedudukan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam projek infrastruktur kritikal, dan membuka pintu untuk peluang masa depan dalam sektor pertahanan.
“Kami komited sepenuhnya untuk memberikan hasil yang luar biasa, mempamerkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan dan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan ketat Jabatan Pertahanan Australia.
“Kami berterima kasih kepada Jabatan Pertahanan Australia atas kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami dan mengharapkan ia suatu perkongsian yang berjaya,” katanya.










